Didik golongan muda kendali bot layar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Dengan matlamat untuk mendidik golongan kanak-kanak supaya mahir dalam pengendalian bot layar, seramai 12 orang kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun menghadiri Kem Pelayaran Junior yang dianjurkan oleh Kelab Bot Kuala Belait dengan kerjasama Persatuan Pelayaran Brunei Darussalam (BDYA) selama tiga hari bermula 20 Ogos hingga 22 Ogos yang berlangsung di Kelab Panaga, Seria.

Pada hari pertama kem berkenaan, para pelayar muda diberikan pendedahan dan ujian keyakinan apabila mereka diperlukan untuk berenang sejauh 50 meter dengan memakai peralatan pelayaran lengkap masing-masing.

Mereka juga mempelajari asas pelayaran seperti simpulan asas dan kesemua titik pelayaran yang berbeza.

Sementara itu, pada hari kedua, mereka diajar bagaimana untuk menaiki serta mengendalikan bot layar dan mereka juga diuji ketangkasan mengendalikan bot.

Manakala itu, hari terakhir kem di sebelah pagi, para peserta diberikan peluang untuk berlatih mengendalikan bot layar bagi acara perlumbaan yang diadakan pada sebelah petang.

Pada acara itu, para pelayar muda mengetengahkan kemahiran yang dipelajari selama dua hari kem tersebut menerusi dua perlumbaan bersama semangat sorakan ibu bapa mereka.

Dengan keputusan daripada dua perlumbaan berkenaan, Lena Wodtke dan Chloe Clarke muncul sebagai juara keseluruhan dan menerima pingat yang disampaikan
oleh Presiden BDYA, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas.

Di akhir kem, kesemua peserta menerima sijil. Pada masa yang sama, BDYA akan
mengadakan kem pelayaran semasa cuti persekolahan pada September nanti.

Lena Wodtke dan Chloe Clarke bergambar ramai bersama Dato Paduka Haji Idris (tengah) dan Gijs Holstege (kanan) serta jurulatih, Fadzlin Hassan dan Alan Tan. – Gambar serahan BDYA
Kelihatan sebahagian kanak-kanak berlatih mengendalikan bot layar mereka semasa menyertai Kem Pelayaran Junior anjuran Kelab Bot Kuala Belait dan Persatuan Pelayaran Brunei Darussalam (BDYA) di Kelab Panaga, Seria, baru-baru ini. – Gambar serahan BDYA