Tuesday, November 29, 2022
25.2 C
Brunei

-

Didik masyarakat kepentingan bahasa isyarat

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Awang Abdul Aziz

Takdir setiap manusia yang ditentukan oleh Allah SWT memang berbeza dan tidak boleh diubah.

Ada yang dilahirkan sempurna dari segi fizikal dan mental dan ada juga yang lahir dalam golongan kelainan upaya, namun sesungguhnya setiap individu itu pasti memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Dari jauh insan-insan dilahirkan mengalami masalah pendengaran ataupun masalah percakapan ini nampak normal, namun apabila kita memulakan perbualan, mungkin mereka hanya merenung tanpa membalas dengan tutur bicara.

Justeru, timbul satu persoalan, bagaimana kita dengan mudah berinteraksi dengan mereka? Setentunya adalah menggunakan bahasa isyarat.

Hanya bahasa isyarat yang dapat membantu mereka berkomunikasi dan menunjukkan ekspresi diri. Umumnya, bahasa isyarat ialah kaedah komunikasi menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat.

Dr Hajah Norbayah semasa memberi tunjuk ajar asas-asas bahasa isyarat kepada para peserta yang mengikuti kelas bahasa isyarat di Ibu Pejabat Persatuan OKP Kebangsaan sekitar Kampung Anggerek Desa.
Pengetahuan asas bahasa isyarat yang merujuk kepada huruf.
Awang Abdul Aziz (kanan) berpendapat jika setiap anggota masyarakat tahu dan boleh berbahasa isyarat, sekurang-kurangnya OKU pendengaran dan percakapan ada tempat hendak meminta pertolongan apabila dalam kesusahan atau mahu berkongsi kegembiraan, sekali gus berasa diri mereka adalah sebahagian daripada masyarakat.

Namun, berapa ramai dalam kalangan kita memahami dan menguasai bahasa isyarat? Adakah hanya golongan istimewa ini yang layak mempelajarinya?

Mungkin, mindset sesetengah pihak masih beranggapan bahasa isyarat hanya perlu dipelajari golongan orang kelainan upaya (OKU) dalam pendengaran dan pertuturan sehingga mengakibatkan insan-insan ini sering merasa terus disisih dan dipinggirkan daripada kegiatan kemasyarakatan kerana tidak ramai yang boleh ‘berbicara’ dengan mereka.

Jari-jari Ku Support OKP

Sehubungan itu, ke arah usaha murni bagi membuka minda dan jiwa pembabitan masyarakat akan pentingnya pengetahuan bahasa isyarat untuk lebih mendekati golongan istimewa ini, Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) Kebangsaan dengan kerjasama Kumpulan Jari-jari Ku kini sedang giat menganjurkan kelas asas bahasa isyarat di bawah program Jari-jari Ku Support OKP 2022!, baru-baru ini, di Ibu Pejabat Persatuan OKP sekitar Kampung Anggerek Desa.

Bersempena dengan Sambutan Hari Bahasa Isyarat Antarabangsa yang disambut pada setiap 23 September, kelas yang dibukakan kepada orang awam dengan kadar bayaran yang berpatutan bagi setiap hari sepanjang ia diadakan selama seminggu bermula 23 September lalu itu juga sebagai pengisian International Deaf Awareness Week secara tahunan. Kelas berkenaan telah dibimbing oleh Penasihat Persatuan OKP, Dr Hajah Norbayah binti Haji Shahminan.

Ia dilaksanakan sebagai wadah bagi mewujudkan kesedaran dan pendedahan mengenai penggunaan asas bahasa isyarat kepada semua lapisan masyarakat demi mewujudkan amalan komunikasi terbaik dengan nilai-nilai perpaduan yang tinggi bersama golongan istimewa tersebut.

Tidak mahu wujud rasa tersisih

Semasa ditemui Media Permata, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan mengemukakan pembabitannya dalam kelas bahasa isyarat bagi peringkat pertama itu seakan-akan impian menjadi nyata kerana sudah lama dia menanam niat mahu mempelajari bahasa isyarat.

Beliau yang juga selaku penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia, baru-baru ini, turut menambah bahawa mempelajari asas bahasa isyarat begitu berharga dalam hidupnya kerana ia sebagai bekalan pada hari mendatang supaya tanpa ragu-ragu untuk berkomunikasi dengan golongan istimewa.

“Jadi, apabila mendekati golongan ini saya tidak tahu bagaimana untuk berkomunikasi.

“Mungkin sesetengah orang merasakan mereka bukan sebahagian masyarakat kerana keterbatasan dalam berkomunikasi dan seolah-olah mereka ini terasing dalam dunia sendiri. Saya tidak mahu sikap sebegini wujud dalam lingkungan masyarakat kita sehingga timbulnya rasa tersisih golongan istimewa ini daripada masyarakat.

“Jika setiap anggota masyarakat tahu dan boleh berbahasa isyarat, sekurang-kurangnya OKU pendengaran dan percakapan ada tempat hendak meminta pertolongan apabila dalam kesusahan atau mahu berkongsi kegembiraan, sekali gus berasa diri mereka adalah sebahagian daripada masyarakat,” ujarnya penuh harapan.

Menurutnya, kepentingan mempelajari bahasa isyarat ini bukan hanya terhad kepada golongan-golongan tertentu bahkan sebaik-baiknya semua peringkat usia bermula dari kanak-kanak sehingga golongan veteran perlu mempelajarinya sekurang-kurangnya peringkat asas seperti mengetahui membentuk huruf, nombor dan perkataan yang sering digunakan seharian.

Hal ini begitu penting bukan hanya bagi memudahkan interaksi bersama golongan istimewa berkenaan bahkan ia juga berguna sekiranya kita berkomunikasi dengan individu-individu yang mengalami kecacatan fizikal seperti akibat angin ahmar yang sukar baginya bertutur dengan jelas.

“Apa yang perlu kita ketahui juga ialah apabila kita bercakap dengan mereka yang mengalami masalah pendengaran yang teruk maka kita ditegah untuk menggunakan bahasa isyarat dengan nada suara yang tinggi seperti berteriak di samping itu kita perlu menggunakan eye contact antara satu sama lain dan mimik muka serta gerak tangan yang jelas dan teratur.

“Semua ini perlu diamalkan agar mereka rasa dihargai dan mampu memahami apa yang disampaikan,” kongsi Awang Abdul Aziz lanjut di akhir temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Taliban Pakistan tamat gencatan senjata

ISLAMABAD, 28 NOV – Taliban Pakistan berkata hari ini mereka telah membatalkan gencatan senjata goyah yang dipersetujui dengan kerajaan pada Jun lalu dan mengarahkan...
- Advertisment -