Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Didik si cilik sayangi alam

    Gambar AFP

    SOLNA, SWEDEN – Tanpa mengira hujan, salji atau ribut, kanak-kanak kecil tidur di luar walaupun pada pertengahan musim sejuk di seluruh Scandinavia, di mana prasekolah luar bangunan mengajar kanak-kanak menyayangi alam sekitar.

    Sambil duduk di hutan di atas kain tarpal yang dibentangkan di atas salji di Solna, berdekatan dengan Stockholm, Agnes dan kawan-kawannya – semua berumur kira-kira lima tahun – sedang menyusun ran-ting kayu.

    “Kami menggunakan kepingan kayu untuk menunjukkan kepada mereka bahawa awda boleh menggunakan apa saja yang awda jumpai dalam alam semula jadi untuk membuat matematik,” kata guru prasekolah, Lisa Bystrom.

    Dalam satu adegan yang mungkin mengejutkan beberapa ibu bapa di tempat lain, kanak-kanak berkenaan meraut kayu dengan pisau besar, dan guru-guru mereka kelihatan tenang sahaja. “Sebaik sahaja mereka memasuki sekolah, mereka akan duduk dengan sehelai kertas dan sebatang pensel tetapi di sini, kami fikir ini lebih menyeronokkan,” kata Bystrom.

    Di Sweden dan Denmark, sekolah adalah wajib bagi kanak-kanak bermula dari usia enam tahun. Tetapi sebelum itu, kebanyakan kanak-kanak menghadiri pusat penjagaan harian atau prasekolah, dengan ramai ibu bapa memilih prasekolah luar di mana kanak-kanak bermain di dalam hutan dan belajar menghargai alam sekitar.

    Kanak-kanak tidur semasa perkhemahan hutan di Ballerup, Denmark.
    Kanak-kanak meraut kayu sebagai sebahagian daripada aktiviti perkhemahan di hutan.

    Kanak-kanak duduk bersebelahan unggun api di kem hutan di pinggir bandar
    Kanak-kanak semasa aktiviti luar, sebahagian daripada agenda harian prasekolah di Jarvastaden, Solna, Sweden.
    Kanak-kanak makan tengah hari di kem hutan di pinggir bandar Ballerup, Denmark.
    Seorang budak lelaki bermain di kem hutan di pinggir bandar Ballerup.

    Kanak-kanak prasekolah menunggu makan tengah hari mereka disediakan di Jarvastaden, Solna, Sweden.

    Andreas Pegado, salah seorang pendidik yang anak perempuannya juga menghadiri prasekolah tersebut, berkata, “Teknologi pada hari ini mengambil alih kebanyakan perkara, jadi saya fikir penting untuk menghabiskan masa berinteraksi dengan alam semula jadi dari usia muda untuk belajar bagaimana berkelakuan dan menghormati alam sekitar.”

    Setiap hari, kanak-kanak kecil itu makan tengah hari di atas bangku kayu dikelilingi unggun api – melainkan hujan lebat memaksa mereka berteduh dalam bangunan.

    Selepas makan tengah hari, kanak-kanak yang berusia dua tahun ke bawah akan tidur sekejap dalam beg tidur di bawah kanvas walaupun apabila suhu jatuh di bawah sifar.

    “Mereka mendapat banyak udara segar, jadi mereka tidur lebih lama, mereka tidur lebih baik,” kata Johanna Karlsson, ketua prasekolah ‘Ur & Skur’, tidak kisah dengan suhu yang mencecah lima darjah Celsius pada hari itu.

    Di negara jiran Denmark, ramai kanak-kanak prasekolah menggunakan ‘bas hutan’ untuk membawa kanak-kanak yang biasa tinggal di bandar, dikenali sebagai ‘kanak-kanak asfalt’, ke kawasan alam semula jadi.

    Setiap hari, sekumpulan kanak-kanak dari prasekolah Stenurten – salah satu daripada 78 prasekolah di Copenhagen yang menawarkan rombongan harian seumpama itu – bertolak dari kawasan Norrebro di pusat bandar dalam perjalanan 30 minit ke kawasan hutan.

    Sebuah rumah kayu kecil menyediakan perlindungan jika diperlukan, dan padang besar menuju ke hutan di mana kanak-kanak boleh berlari bebas.

    Di ruang terbuka, pendidik dapat mempelbagaikan pendekatan pedagogi mereka dan membantu kanak-kanak belajar hidup berdikari.

    “Sifat ingin tahu mereka agak berbeza di sini,” kata Iben Ohrgaard, salah seorang kakitangan prasekolah.

    “Semua orang diberikan pakaian salji, tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa. Bak kata pepatah Nordic yang popular: ‘Tidak adanya cuaca buruk, hanya pakaian yang buruk.’

    Namun, adakah ia benar-benar masuk akal untuk berada di luar sepanjang hari, walaupun suhu mencecah negatif 10 Celsius?

    Pendidik-pendidik semua bersetuju: kanak-kanak yang menghabiskan masa mereka di luar mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi dan jarang jatuh sakit. Pada tahun 1920, seorang doktor Iceland menyarankan agar anak damit tidur di luar untuk memperkuat sistem imun mereka, satu amalan yang kini lazim diamalkan di seluruh negara Nordic dan tidak pernah ditegah oleh komuniti perubatan.

    Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2018 dalam Journal Penyelidikan Pendidikan British mencadangkan prasekolah di luar membantu meningkatkan kemahiran kerja berpasukan kanak-kanak dengan menggalakkan kanak-kanak bekerjasama melalui permainan dan sebagainya. Di luar rumah, ‘mereka mencuba pelbagai penyelesaian yang berbeza dengan sendiri,” kata Ohrgaard, membantu mengurangkan konflik.

    “Jika mereka memanjat terlalu tinggi di atas pokok, mereka tahu ada orang dewasa berdekatan. Tetapi mereka lebih banyak berusaha sendiri. Dan mereka membesar dengan perasaan ‘Saya boleh melakukannya’,” jelasnya.

    “Itu memberi mereka kekuatan untuk mencuba sekali lagi sebelum meminta bantuan.”

    Bagi ibu bapa, hari-hari yang dihabiskan di luar merupakan satu ‘anugerah’.

    “Apabila awda tinggal di bandar, seperti di ibu negara Copenhagen, tidak adanya alam semula jadi yang sebenar. Ini adalah satu hadiah yang sangat berharga bagi kanak-kanak,” kata Line Folkhammar, ibu kepada Georg yang berusia lima tahun.

    Dan ganjaran tambahan untuk ibu bapa? “Dia balik ke rumah keletihan,” katanya sambil ketawa. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...