Monday, November 28, 2022
27.1 C
Brunei

-

Didikan ibu bapa penentu masa depan anak

Oleh Nurdiyanah R.

Sebagai ibu bapa atau penjaga seharusnya mengambil kira anak-anak yang menunjukkan tanda-tanda kebimbangan dan kemurungan dan harus menghulurkan bantuan. Jangan biarkan perkara tersebut dibiarkan begitu sahaja tanpa pengawasan.

Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Pegawai Psikologi dalam Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dayang Nur Hazwana binti Haji Mohd Zain semasa berlangsungnya Forum Kesihatan Mental di kalangan Kanak-kanak anjuran Persatuan Mawar bertempat di Maven’s Hive, Kiulap, penghujung bulan Oktober lalu.

“Oleh yang demikian, komunikasi antara anak-anak dan ibu bapa juga penting.

“Jika seorang kanak-kanak mempercayai ibu bapa untuk mendengar kebimbangan, mereka akan lebih mudah membuka dan berkongsi isi hati mereka. Hakikatnya, kanak-kanak juga perlu diajar tentang penjagaan diri terutamanya kesihatan mental mereka,” ujarnya lanjut.

Forum bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia itu telah dihadiri kira-kira 40 orang peserta termasuklah ahli-ahli persatuan tersebut yang sememangnya bermatlamat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan ibu bapa atau penjaga akan kepentingan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak.

Dayang Nur Hazwana semasa menyampaikan pengisian Forum Kesihatan Mental di kalangan Kanak-kanak yang diadakan pada penghujung bulan Oktober lalu.
Ilmu agama merupakan antara perkara yang perlu diajar oleh para ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak mereka.
Jika seorang kanak-kanak mempercayai ibu bapa untuk mendengar kebimbangan, mereka akan lebih mudah membuka dan berkongsi isi hati mereka.

Gaya didikan penentu arah masa depan

Antara pengisian yang disentuh dalam forum berkenaan ialah aspek kesedaran yang perlu dititikberatkan oleh para ibu bapa dan penjaga akan kepentingan kesihatan mental anak-anak mereka sekali gus dalam memastikan ketumbesaran fizikal dan perkembangan emosi mereka dalam keadaan optimum.

Di samping itu, forum itu turut mengongsikan langkah-langkah bagi ibu bapa dan penjaga dalam membantu kanak-kanak menangani isu berkaitan dengan kesihatan mental mereka.

Hakikatnya, tugas mendidik anak-anak bukanlah suatu tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan. Ini kerana didikan ibu bapa atau penjaga pada peringkat awal adalah pintu masa depan mereka lebih-lebih lagi di zaman moden yang penuh dengan pelbagai cabaran ini.

Anak-anak suka meniru dan mengikut apa saja yang mereka lihat terutamanya perbuatan ibu bapa atau penjaga mereka. Justeru, ibu bapa selaku cermin kepada anak-anak hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik sama ada dalam bentuk tingkah laku mahupun tutur kata kepada anak-anak mereka.

Nasihat merupakan antara cara yang lembut dan berkesan dalam mendidik anak-anak sama ada dari segi keimanan dan akhlak.

Termasuk dalam faedah nasihat itu ialah mengenalkan kepada anak-anak mengenai kekuasaan Allah SWT, melaksanakan segala suruhanNya, menjauhi segala laranganNya, mengajar hukum-hukum dalam agama Islam dan seumpamanya.

Ibu bapa hendaklah sentiasa memata-matai kelakuan anak-anak, mengambil berat dan mengambil tahu tentang apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka ketika berada di dalam rumah ataupun di luar rumah.

Sebagai contoh menyelidiki siapa kawan-kawan anak mereka, ke mana ia pergi, untuk apa dan sebagainya. Ini bertujuan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak semasa berada di luar rumah.

Para ibu bapa atau penjaga jangan mengambil ringan dan lalai dalam menunaikan hak dan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak kerana dikhuatiri mereka akan terjebak pada gejala negatif atau kegiatan kurang bermoral yang menyalahi agama Islam yang suci bahkan juga melanggar adat dan tatasusila serta undang-undang negara.

Perlu diketahui pendidikan yang sempurna dan seimbang antara duniawi dan ukhrawi amat mustahak diberikan kepada anak-anak kerana tanpa adanya ilmu pengetahuan, kita tidak dapat membezakan antara yang hak dan yang batil.

Selain itu, sebagai ibu bapa atau penjaga, kita hendaklah sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak sama ada dari segi emosi, mental mahupun fizikal.

Adapun perlaksanaan usaha kesedaran sedemikian amat perlu ditingkatkan berikutan antara impak pandemik COVID yang menular di negara ini sehingga menjejaskan tahap kesihatan mental masyarakat tidak terkecuali golongan kanak-kanak yang belum matang dalam menangani tekanan yang dihadapi.

Dengan pasca pandemik dan masih dalam keadaan yang kurang menentu, ia mungkin juga akan mengganggu mental dan emosi kanak-kanak.

Oleh itu, para ibu bapa dan penjaga perlu memantau emosi dan perubahan tingkah laku anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Ratusan bantah sekatan COVID China

BEIJING, 27 NOV – Bantahan terhadap kawalan koronavirus di China yang telah mengurungkan jutaan penduduk di rumah telah merebak ke Shanghai dan bandar lain...
- Advertisment -