Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Difteria ancam nyawa kanak-kanak

    SANAA – Di sebuah hospital awam di pusat bandar Yaman yang dilancarkan oleh Yayasan Sanaa, ramai doktor kelihatan sibuk merawat penyakit difteria yang semakin banyak menjangkiti pesakit secara tiba-tiba.

    Unit penjagaan intensif dipenuhi oleh pesakit kanak-kanak dan wanita yang dijangkiti oleh penyakit difteria yang dipercayai berpunca dari jangkitan bakteria yang tersebar dari seorang individu kepada individu yang lain melalui batuk atau bersin.

    Penyakit ini menyekat saluran di bahagian tekak dan antara kes yang paling serius juga berupaya untuk membunuh kanak-kanak hanya dalam tempoh masa tertentu jika ia tidak dirawat dengan serta-merta.

    Mohammed Saghir Yahya, 35, seorang bapa kepada lima orang anak kelihatan agak sebak ketika mengenangkan dua orang anaknya yang meninggal disebabkan oleh penyakit difteria baru-baru ini.

    “Saya telah bergegas keluar dari kawasan kampung untuk menuju ke hospital dua hari yang lalu, malangnya anak bongsu saya meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan dan anak kedua saya pula meninggal dunia sehari selepas itu. Kini isteri saya dan tiga orang anak sedang dirawat di dalam unit penjagaan rapi,” jelas Yahya kepada Xinhua.

    Seorang pesakit kanak-kanak yang menghidap penyakit difteria dirawat di Hospital al-Sabeen. – Xinhua
    Jangkitan difteria di seluruh Yaman sejak Mac lalu meningkat kepada 2,572 orang termasuk 1,491 kanak-kanak. – Xinhua
    Kanak-kanak di Sanaa telah digalakkan untuk mendapatkan vaksinasi dan rawatan bagi mengelakkan penyebaran wabak kolera dan difteria. – Agensi

    Anak lelaki Yahya Ahmed, 3 tahun dan Abdullah, 10 tahun merupakan dua pesakit yang telah disahkan meninggal dunia akibat difteria oleh doktor di Hospital al-Sabeen.

    Menurut Ketua Unit Penjagaan Intensif Hospital al-Sabeen, Doktor Yassir al-Sultan menjelaskan, Isteri dan tiga orang anak Yahya masih berada dalam keadaan kritikal dan tetap dirawat di hospital itu.

    Yahya menjelaskan bahawa dia telah menjual rumah kecilnya di perkampungan Safan di Daerah Haraz bagi memastikan pembiayaan kewangan keluarganya di sepanjang tempoh rawatan ini terjamin.

    Walaupun Haraz adalah sebahagian dari wilayah Sanaa, namun perjalanan dari kawasan daerah itu menuju ke bandar Sanaa memakan masa lebih dari 15 jam pemanduan berikutan daripada keadaan jalan yang tidak berturap, kasar, merentasi kawasan pergunungan dan jambatan serta ada di antara jalan yang terjejas akibat terkena serangan udara.

    Malah kebanyakan kawasan di daerah dan perkampungan yang agak terpencil itu tidak memiliki pusat kesihatan yang lengkap sekali gus meningkatkan risiko kepada wanita mengandung dan juga kanak-kanak ketika mereka sakit.

    Al-Sultan memberitahu Xinhua bahawa terdapat ahli-ahli keluarga lain yang semuanya dijangkiti dengan difteria dari wilayah utara Saada, sebuah bandar pelabuhan di Laut Merah Hodeidah, di wilayah barat laut Hajjah.

    “Sehingga kini, pihak hospital telah merekodkan sebanyak 64 kes difteria di mana kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak, 11 daripada mereka juga dilaporkan telah meninggal dunia termasuk dua orang anak lelaki Mohammed Saghir Yahya,” jelas Sultan ketika menekankan mengenai peningkatan jumlah jangkitan difteria sejak seminggu yang lalu.

    “Saya menyeru kepada semua pihak agensi bantuan kemanusiaan untuk membantu kami dalam menyediakan bekalan perubatan untuk memerangi wabak yang kelihatan menyebar pada kadar sangat cepat ini. Kebanyakan pesakit dilaporkan meninggal dunia kerana hospital tidak memiliki banyak jenis ubat penting untuk merawat kes-kes kritikal,” jelasnya.

    “Kami tidak berupaya untuk menyelamatkan kebanyakan pesakit kanak-kanak terutama apabila jangkitan itu telah merebak ke bahagian hati,” tambahnya.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak difteria di Yaman pertama kali dilaporkan pada Oktober 2017, dan sejak itu ia mula merebak dengan

    cepat di seluruh negara menjangkiti lebih daripada 1,300 orang dan mengorbankan lebih dari 70 orang yang kebanyakannya kanak-kanak setakat bulan Mac pada tahun ini.

    Pihak berkuasa kesihatan Yaman di Sanaa menjelaskan bahawa jumlah jangkitan difteria di seluruh negara sejak bulan Mac lalu meningkat kepada 2,572 orang termasuk 1,491 kanak-kanak.

    Menurut statistik baharu yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan, seramai 141 orang pesakit telah dilaporkan meninggal dunia termasuk 126 orang kanak-kanak.

    Pusat Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan bahawa penyebaran difteria yang pesat di Yaman adalah berpunca akibat penurunan sistem kesihatan di mana hanya 50 peratus daripada kemudahan kesihatan yang berfungsi sama ada separa atau sepenuhya.

    Pada bulan Mac, WHO dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) telah melancarkan kempen pemvaksinan berskala besar untuk mengawal penyebaran difteria iaitu dengan menyasarkan 2.7 juta kanak-kanak berusia di antara 6 minggu hingga 15 tahun di 11 buah wilayah.

    Keadaan di Yaman kelihatan terjejas teruk berikutan daripada faktor peperangan dan sekatan yang berlaku sejak Mac 2015.

    Perang itu telah mengorbankan lebih daripada 10,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk awam dan turut menyebabkan tiga juta yang lain kehilangan tempat tinggal.

    Menurut agensi kemanusiaan PBB, sekitar 25 juta penduduk juga berada di ambang kebuluran.

    Sebagai tambahan kepada peperangan dan sekatan ekonomi, negara itu juga turut diancam oleh wabak kolera, kebuluran dan juga kekurangan zat makanan yang teruk.

    Menurut data terbaharu yang dikumpulkan oleh WHO, sejak April 2017, kolera telah menjangkiti sebanyak 1.2 juta penduduk Yaman dan 30 peratus daripadanya adalah kanak-kanak serta 2,515 telah dilaporkan meninggal dunia akibat menyakit itu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda