Digalakkan imbas kod QR untuk acara rumah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Bagi sebarang acara yang berlangsung atau yang akan diadakan di rumah adalah dialu-alukan dan digalakkan untuk membuat imbasan kod QR.

Dengan langkah membuat imbasan kod QR tersebut, sesiapa sahaja yang datang ke acara atau ke rumah tersebut akan dapat dikesan dan diketahui.

Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan pada petang tadi.

Selain itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menjelaskan dengan
cara itu, ia juga dapat memastikan warna kod BruHealth para pengunjung yang hadir di kediaman berkenaan yang mana hanya mereka yang mempunyai kod berwarna hijau dan kuning sahaja yang akan dibenarkan untuk menghadiri sesebuah acara tersebut semasa tempoh fasa peralihan.

Bagi pengunjung yang mempunyai kod BruHealth yang berwarna merah, mereka akan dapat dikesan semasa mengimbas kod QR mereka sebelum memasuki sesebuah kediaman atau premis di mana acara diadakan.