Digantung kerana bunuh rakan tegur masak tak sedap

TEMERLOH, 22 OKT – Seorang pekerja ladang dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakan sekerjanya dua tahun lepas.

Hakim Datuk Hassan Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Rosli Naqur Gani, 37, yang kelihatan tenang semasa hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Mohamad Rosli yang berasal dari Perak didakwa membunuh rakan sekerjanya R. Devadas, 60, pada 17 April 2017 antara 1:50 pagi dan 11:50 pagi di rumah tidak bernombor di Estet Chuan Leng Rubber Estate, Bellenggu Halt, Mentakab dekat sini, selepas rakan sekerjanya itu menegur masakannya yang dikatakan tidak sedap.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi memberi contoh kepada masyarakat kerana perbuatan tertuduh tidak boleh dimaafkan. – Bernama