LOS ANGELES, 23 Julai – Pemain El Salvador, Henry Romero digantung enam perlawanan manakala Darwin Ceren berdepan tiga penggantungan atas kesalahan ‘tidak mengamalkan semangat kesukanan’ dalam persaingan Piala EMAS CONCACAF kerana menggigit pemain Amerika Syarikat (AS).
Romero yang juga pemain pertahanan Los Cuscatlecos didapati menggigit belakang Jozy Altidore pada aksi suku akhir yang menyaksikan mereka kecundang 2-0 di tangan AS, selain memegang dan memulas puting buah dada penyerang AS itu.
Pemain tengah, Ceren yang beraksi bersama San Jose Earthquakes di MLS pula didapati menggigit Omar Gonzalez ketika pertembungan dua pasukan itu.
Jawatankuasa CONCACAF mengumumkan hukuman itu sebelum aksi separuh akhir antara AS bertemu Costa Rica yang berlangsung di Dallas, hari ini. CONCACAF yang tidak menjelaskan insiden terbabit secara terperinci dalam pengumuman itu menyatakan penggantungan hanya tertakluk untuk ‘perlawanan rasmi’.
El Salvador sudah tersingkir dari kelayakan Piala Dunia 2018. – AFP
