Dihukum denda akibat miliki barang tegahan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Tiga orang lelaki dan seorang wanita yang menghadapi tuduhan memiliki barang tegahan dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Muhammad Hazim bin Abdullah Ngabong @ Hendery anak Ngabong, 23, dihukum denda $8,500 selepas mengaku bersalah memiliki 720 tin minuman keras tanpa cukai di dalam keretanya ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah, pada 14 Februari 2018 sekitar jam 11:22  malam.

Majistret Kanan Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar memberi tempoh sehingga penghujung Jun ini untuk membayar denda dan jika gagal akan berdepan enam bulan penjara.

Dalam bilik mahkamah sama, Mohamad Azmi bin Othman, 26, dikenakan denda $1,000 atas kesalahan memiliki tujuh botol arak dan 12 tin minuman keras, juga tanpa cukai di dalam keretanya ketika pemeriksaan dijalankan oleh pegawai kastam di Pos Kawalan Kastam Kuala Lurah pada 10 Februari 2018 pada jam 8:05 malam.

Dia diberi tempoh sehingga 1 Mei ini untuk menjelaskan denda itu atau berdepan hukuman dua bulan penjara.

Sementara itu, Imam Asmu’i berusia 39 tahun dari Indonesia mengaku bersalah memiliki tujuh karton rokok seludup dan dihukum denda $3,500 atau berdepan tiga bulan penjara.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 Februari 2018 kira-kira jam 10:25 pagi apabila rokok-rokok itu ditemui di dalam begnya ketika berada di ruang penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Manakala itu, Einie binti Morside yang berdepan tuduhan memiliki tujuh karton rokok, lapan paket sayap ayam dan dua paket tongkeng ayam pula dijatuhi denda $4,700.

Dia didapati memiliki barang tengahan itu ketika pemeriksaan dijalankan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 13 Februari 2018 pada jam 11:10 pagi.

Majistret Kanan Pengiran Masni memberi tempoh empat bulan untuk defendan membayar denda atau berdepan hukuman tiga bulan penjara.