Dihukum penjara kerana mencuri

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan ke atas seorang lelaki tempatan yang dituduh mencuri di kawasan perumahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus Mohammad dalam fakta kes menjelaskan tertuduh, Muhammad Jasnie bin Sainie, 25 didakwa melakukan curi antara April dan Mei di mana dia mencuri pembesar suara Bluetooth dan dua unit telefon bimbit dari sebuah rumah di Jalan Parak, Rancangan Perumahan Negara Panaga di Kuala Belait.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid seterusnya mendengar bahawa tertuduh mencuri tangga aluminium dari rumah sama pada 3 Julai jam 8 pagi.

Seterusnya pada 21 Julai jam 11:20 pagi, tertuduh mencuri lagi sebuah unit penghawa dingin dengan mesin pemampat dari rumah yang sama.

Dia dikatakan mencuri barangan-barangan tersebut untuk dijual bagi membeli dadah jenis syabu.