Dikecualikan jalani ujian jika sudah divaksin sepenuhnya

WASHINGTON, 23 MEI – Saranan pegawai kesihatan persekutuan yang lebih longgar mengenai penutup mulut dan hidung telah mencatat satu lagi perubahan besar dalam panduan daripada kerajaan, iaitu warga Amerika yang sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya boleh dikecualikan daripada menjalani ujian untuk koronavirus.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit berkata pada minggu lalu kebanyakan orang yang telah menerima suntikan vaksin sepenuhnya dan tidak mempunyai gejala COVID-19 tidak perlu disaring untuk virus itu, walaupun jika terdedah kepada seseorang yang dijangkiti.

Perubahan itu mewakili fasa baharu dalam epidemik selepas hampir setahun di mana ujian merupakan senjata utama dalam memerangi virus tersebut. Vaksin kini menjadi teras terhadap respons itu dan telah mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian.

Pakar berkata panduan CDC mencerminkan realiti baharu di mana hampir separuh daripada warga Amerika telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dan hampir 40 peratus sudah divaksin sepenuhnya.

Sementara individu yang sudah menerima suntikan vaksin masih boleh dijangkiti virus, mereka tidak menghadapi risiko besar dijangkiti penyakit serius. Dan keputusan ujian positif boleh mendorong kepada apa yang dikatakan pakar sebagai kebimbangan tidak wajar dan gangguan di tempat kerja, rumah dan sekolah, seperti kuarantin dan penutupan. – AP

Seorang lelaki berjalan berhampiran papan tanda iklan tapak ujian COVID-19 di Philadelphia. Pegawai AS berkata warga AS yang sudah menerima vaksin sepenuhnya tidak perlu menjalani ujian virus walaupun terdedah kepada mereka yang dijangkiti. – AP