Dikenakan kompaun $100, $200 kerana buang sampah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Tiga orang individu iaitu seorang warganegara Brunei, seorang warganegara China dan seorang warganegara Indonesia, dikenakan kompaun sebanyak $100 setiap seorang dan sebuah syarikat dikenakan kompaun $200 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) (d) kerana melonggok bahan-bahan binaan dan sampah perniagaan secara tidak teratur, membuang puntung rokok di tempat awam sekitar kawasan Kampung Serusop, Gadong, Jaya Setia, Berakas, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di sini, tiga individu dan sebuah syarikat berkenaan didapati melakukan kesalahan semasa Operasi Bersih 8/2020 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di mana individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun berkenaan di Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dalam tempoh masa tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah yang mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000.

Manakala kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai disarankan untuk tidak membuang sampah di tempat-tempat awam demi kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam. Mereka yang ingin untuk menghadapkan sebarang aduan dan perkongsian maklumat berkaitan boleh disalurkan terus ke nombor talian E-Darussalam: 123, e-mel: [email protected] atau laman sesawang, www.123.gov.bn atau WhatsApp 8333123.