Dikenakan kompaun $100 buang puntung rokok

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Dua individu telah dikenakan kompaun sebanyak $100 setiap seorang setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (a) kerana membuang puntung rokok.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu di sekitar kawasan belakang Bangunan Kompleks Melabau, Kampung Berakas dan kawasan belakang Bangunan Kompleks Jaya Setia, Kampung Serusop semasa pemantauan kebersihan rutin harian yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran BSB, di sini, hari ini, individu-individu berkenaan iaitu seorang warganegara Bangladesh, Mohammad Nasim Hossen dan seorang lagi warganegara India, Haja Sarif Ahamad Bubari dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran BSB dalam tempoh tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000, manakala itu, kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sebarang aduan dan perkongsian maklumat boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang www.123.gov.bn atau e-mel [email protected]