Wednesday, November 13, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dikir Maulud erat ukhuwah sesama umat

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Bagi memperingati hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, pelbagai aktiviti keagamaan dianjurkan di seluruh negara.

    Rombongan Dikir Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah berkunjung ke Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong, semalam.

    Rombongan diketuai oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, dan turut melibatkan pegawai dan kakitangan KHEU.

    Acara itu merupakan sebahagian daripada acara dikir 12 malam berturut-turut anjuran KHEU yang bertujuan memakmurkan masjid dan mengeratkan hubungan antara penduduk kampung serta jemaah masjid.

    Majlis dikir tersebut akan diteruskan di Masjid Kampung Labu Estate, Daerah Temburong, hari ini.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim semasa menyertai majlis dikir yang berlangsung di Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Awang Ruslan semasa mengambil bahagian dalam majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Labu Estate, Daerah Temburong. – GAMBAR SERAHAN PDI
    Pengiran Haji Nordin semasa bergambar ramai bersama ahli PERBEKAL yang menyertai Majlis Dikir Maulud di beberapa masjid dan kediaman ahli di sekitar negara. – GAMBAR SERAHAN PERBEKAL
    Rombongan Dikir Alumni Pengambilan Pertama Aliran Inggeris Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA) 1975 bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN ALUMNI SM SMJA
    Antara yang hadir semasa Majlis Dikir Maulud di Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah. – GAMBAR SERAHAN PDI

    Sementara itu, acara serupa juga dijalankan di Daerah Belait dengan penyertaan rombongan Dikir Bersama Mualaf, anjuran Bahagian Pembangunan Mualaf, Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

    Majlis yang diadakan di Bangunan Persatuan Sinar Islam itu dihadiri oleh lebih 60 orang, termasuk para mualaf dan penduduk kampung.

    Mengetuai rombongan tersebut ialah Pegawai Ugama Kanan PDI, Awang Ruslan bin Haji Sulaiman.

    Salah satu pengisian majlis adalah tazkirah bertajuk Contohi Akhlak Rasulullah dalam Kehidupan, yang disampaikan oleh Dayang Siti Ramziah binti Haji Mohamad Ramli. Dalam tazkirahnya, beliau menekankan pentingnya mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian, di samping menggalakkan para mualaf untuk melibatkan diri dalam majlis-majlis keagamaan.

    Majlis turut diserikan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) turut mengadakan Majlis Dikir Maulud yang melibatkan penyertaan kira-kira 50 ahli di beberapa masjid dan kediaman ahli di sekitar negara yang diketuai oleh Yang Di-Pertua PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud.

    Program Dikir Maulud PERBEKAL bertujuan memperingati perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan ajaran Islam serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli dan masyarakat. Setakat ini, Masjid Lambak Berakas dan Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS) di Kampung Rimba telah diziarahi, dengan program diteruskan sepanjang bulan Rabiulawal.

    Tidak ketinggalan, rombongan dikir lelaki dan Muslimah Alumni Pengambilan Pertama Aliran Inggeris Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) 1975-1978 turut serta berdikir bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Kampung Jangsak.

    Acara dimulakan dengan solat berjemaah dan diteruskan dengan bacaan Dikir Assalamualaika dan Dikir Syarafil Anam.

    Aktiviti tahunan alumni itu bertujuan mengeratkan perpaduan serta melibatkan ahli-ahli dengan aktiviti kerohanian.

    Majlis-majlis seumpama ini mencerminkan semangat masyarakat Islam di negara ini dalam memuliakan kelahiran Nabi Muhammad SAW dan memperkukuhkan amalan-amalan keagamaan serta mengeratkan silaturahim sesama umat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda