Dikir maulud terus semarak

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Sempena memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, beberapa buah kementerian dan agensi-agensi kerajaan serta persatuan jawatankuasa takmir masjid terus giat mengadakan majlis dikir di masjid-masjid seluruh negara.

Rombongan dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut tidak ketinggalan dalam sama-sama melahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan mengungkayahkan Majlis Dikir Syarafil Anam yang diadakan di Masjid Kampung Junjongan, hari ini.

Hadir mengetuai rombongan tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah dan bacaan Surah Yasin.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar bersama rombongan Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya ketika mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, kelmarin. Dalam sama-sama menyemarakkan lagi 12 malam berturut-turut sempena Sambutan Maulidur Rasul, pelbagai pihak di negara ini terus mengadakan majlis dikir di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara. – Gambar serahan JPM
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri majlis dikir yang diadakan di Masjid Kampung Junjongan.
Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bersama rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama ketika mengadakan majlis dikir di Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong.

Majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam sebelum mengerjakan sembahyang Fardu Isyak berjemaah. Selepas sembahyang berjemaah, majlis diteruskan dengan persembahan qasidah dari JAMA’AT ABDB, kemudian diikuti dengan Dikir Marhaban daripada jemaah dan rombongan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis diakhiri dengan doa dikir dan diikuti dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Kampung Junjongan, Haji Tamam @ Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang bersama penduduk Kampung Junjongan.

Sementara itu Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya turut serta menyemarakkan dan memeriahkan hari kebesaran Islam dengan mengadakan majlis seumpamanya di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Rombongan diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Turut hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Acara turut diisi dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, persembahan dikir, Sembahyang Fardu Isyak berjemaah dan diakhiri dengan Dikir Ashrakal serta Doa Dikir.

Di Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) turut menyemarakkan sambutan Maulud Nabi dengan mengadakan Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Sementara di Daerah Temburong, rombongan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), KHEU bersama golongan mualaf berserta penduduk sekitar Kampung Selapon turut mengadakan majlis dikir yang diungkayahkan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf menerusi Pengupayaan Mualaf, PDI, KHEU dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Temburong di Pos Dakwah Kampung Selapon, Daerah Temburong.

Hadir mengetuai rombongan tersebut ialah Pengarah PDI, KHEU, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Majlis tersebut turut diisi dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh ketua rombongan dan diikuti dengan tazkirah yang disampaikan oleh pegawai dari PDI, Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop.

Acara diteruskan dengan Dikir Assalamualaika dibawakan oleh rombongan PDI dan diikuti dengan Dikir Alhamdulillah yang dibawakan oleh pegawai-pegawai dari Unit Dakwah Daerah Temburong dan kemudian bacaan Dikir Marhaban dibawakan secara beramai-ramai. Majlis diakhiri dengan Doa dikir dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Ketua Unit Dakwah Daerah Temburong, Haji Hazimin bin Haji Metali.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar; Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Hajah Rosinah binti Haji Mangshor; Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I, Awang Ali Hassan bin Mohd Said; Pegawai Ugama Kanan, Awang Ruslan bin Haji Sulaiman, pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Pengembangan Dakwah dan Bahagian Pembangunan Mualaf, Unit Dakwah Daerah Temburong Pusat Dakwah Islamiah, KHEU beserta penduduk sekitar Kampung Selapon, Daerah Temburong.

Tujuan majlis-majlis tersebut diadakan adalah bagi memeriahkan dan memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW selain memupuk rasa kesedaran dan keinsafan dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda dalam menyebarkan ajaran Islam.