Dikompaun $500 buang sampah merata

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Sebuah syarikat telah dikompaun sebanyak $500 oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) atas kesalahan membuang sampah di tempat awam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JASTRe, syarikat itu didapati telah melakukan kesalahan melanggar Bab 12 (1) (d) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30, iaitu membuang sampah dari kenderaan di kawasan Jalan Panchor Mengkubau, RPN Mengkubau.

Syarikat berkenaan telah diberikan tempoh dalam masa tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda kompaun.

Jika gagal menjelaskan denda kompaun, syarikat berkenaan boleh didakwa ke mahkamah, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda $1,000 bagi kesalahan pertama dan manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Rakaman CCTV menunjukkan kakitangan sebuah syarikat membuang sampah di tempat awam.- Gambar serahan JASTRe