Dilema penduduk setinggan Thailand

BANGKOK, 10 APRIL – Terik mentari menyelubungi Khlong Toey – kawasan setinggan tertua, terbesar dan paling padat di Bangkok – rutin kehidupan seperti biasa meskipun kerajaan Thailand menasihatkan menjaga jarak sosial dan tinggal di dalam rumah untuk mengekang rantai-an jangkitan COVID-19.

Didiami kira-kira 100,000 orang – termasuk 30,000 kanak-kanak – kedudukan rumah yang terlalu rapat sudah tentu mustahil untuk penjarakkan sosial dipatuhi. Di lorong-lorong sempit yang kotor, yang tua berkipas kepanasan, kaum wanita berbual sambil duduk di bangku di luar rumah, kanak-kanak riang bermain sambil berkaki ayam.

Ia menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan lebih terdedah kepada virus yang membawa maut itu – umpama bom jangka yang boleh meledak bila-bila masa. Sehingga kini, sekurang-kurangnya 13 orang telah dijangkiti. Saiyong Kongsap, 54, seorang buruh berkata beliau tiada pilihan selain terus bekerja meskipun berisiko dijangkiti COVID-19, atau duduk di rumah sambil kelaparan.

“Saya tahu virus itu boleh membawa maut. Apakan daya takkan duduk sahaja di rumah dan biarkan keluarga kelaparan. Saya perlu berusaha mencari kerja walaupun sekarang bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan,” kata bapa kepada empat orang anak itu kepada Bernama baru-baru ini. – Bernama