KUALA LUMPUR – Kalau di jalan utama, memang agak jarang untuk kita melihat orang berbasikal terutamanya pada hari bekerja, namun berbeza keadaannya di Kampung Pandan dan Desa Pandan. Di dua kawasan kediaman yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur ini, ramai yang berbasikal termasuk pelajar sekolah, anak muda, warga emas, dan malahan kaum ibu terutamanya pada waktu pagi.
Mereka masih memilih untuk berbasikal untuk urusan masing-masing meskipun terpaksa berdepan dengan keadaan jalan raya yang sibuk dan menggunakan laluan yang mungkin lebih jauh semata-mata untuk menghindari keadaan jalan yang sesak.
Situasi sukar sebegitu bukan sesuatu yang asing lagi bagi pengguna basikal di Kuala Lumpur. Meskipun terdedah kepada risiko kemalangan, mereka harus berani menerima sebarang kemungkinan ketika berkongsi jalan raya bersama kenderaan yang lebih besar dan laju.
Konflik yang timbul
Konflik berterusan yang dihadapi pengguna basikal di Kuala Lumpur disebabkan tiada lorong khas untuk penunggang basikal yang membolehkan mereka sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat tanpa perlu menggunakan jalan utama yang boleh membahayakan nyawa mereka. Pengalaman Wong Hau Young, 30an, sejak tiga tahun menggunakan basikal sebagai pengangkutan melihat isu ini seperti tiada kesudahan malah semakin rumit.

“Sebagai pengguna basikal, boleh dikatakan jalan-jalan yang ada disekitar Kuala Lumpur kebanyakannya tidak mesra pengguna basikal seperti saya. “Sebelum ini walaupun tidak ada lorong basikal disediakan tetapi masih boleh dilalui kerana ada ruang yang sesuai untuk basikal. Tetapi kini banyak jalan yang amat bahaya bagi pengguna basikal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Antara jalan yang tidak lagi sesuai dilalui pengguna basikal, sebagai contoh ialah dari Jalan Jelatek ke Ampang di kedua-dua arah. Kerja pelebaran jalan yang sedang dilakukan telah mengubah bentuk laluan trafik yang boleh mengundang bahaya kepada kelompok ini. “Saya lihat dalam setiap perancangan membina jalan mahupun melebarkan jalan, tidak ada lansung dimasukkan laluan khusus untuk berbasikal.
“Keadaan ini menyebabkan pengguna basikal bimbang keselamatan mereka dan terpaksa berfikir beribu-ribu kali untuk menggunakan basikal ke mana-mana sahaja. Keadaan ini akan mengurangkan jumlah pengguna basikal di Kuala Lumpur,” katanya.
Mentaliti sesetengah pemandu untuk memecut apabila memandu di jalan yang dibesarkan turut meresahkan penunggang basikal. Menurut Young ada beberapa orang rakannya di sekitar Keramat dan Wangsa Maju menggunakan basikal sebagai pengangkutan sebelum wujudnya Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke). Selepas adanya lebuh raya tersebut, mereka tidak lagi menggunakan basikal disebabkan faktor keselamatan dan keadaan jalan yang tidak lagi sesuai untuk pengguna basikal.
Pandangan masyarakat
Meskipun sering dipandang sinis kerana menggunakan basikal, bagi Young beliau sudah biasa dengan keadaan itu. Bagaimanapun, beliau berkata bukan semua pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan beroda empat tidak bertimbang rasa kepada pengguna basikal. “Ada pemandu yang baik hati, memberi ruang kepada pengguna basikal dengan memperlahankan kereta untuk memberi laluan kepada penunggang basikal.
“Contoh di Kampung Pandan dan Desa Pandan, pemandu di sana sudah biasa dengan penunggang basikal. Mereka lebih bertimbang rasa,” katanya.
Namun keadaan agak berbeza di kawasan Petaling Jaya kerana kebanyakan pemandu lebih mementingkan diri dengan wajah yang kurang mesra. “Sesetengah pemandu di Petaling Jaya kurang mesra bukan sahaja dengan pengguna basikal tetapi dengan pengguna jalan raya lain. Nampak mereka lebih mementingkan diri, kurang sabar malah dalam kawasan taman perumahan pun mereka memandu dengan laju dan berebut-rebut terutama untuk keluar dari simpang. “Itu hanya pandangan peribadi saya sahaja. Sebenarnya ia bergantung kepada sikap individu itu sendiri,” katanya.
Selain itu, beliau juga berharap Malaysia akan mencontohi negara lain di dunia yang mempopularkan basikal sebagai salah satu bentuk pengangkutan berkesan bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga mengurangkan pencemaran daripada segi asap kenderaan. Sekurang-kurangnya menurut Young, Malaysia dapat mencontohi negara jiran Singapura yang menyediakan laluan khusus untuk pejalan kaki dan pengguna basikal tanpa perlu berkongsi dengan jalan raya dengan pengguna kenderaan lain.

“Di Singapura contohnya, sebaik melepasi pemeriksaan Imigresen, ada laluan basikal yang dikongsikan dengan laluan pejalan kaki yang lebih selamat dan tidak mengganggu jalan utama.
“Saya sangat berharap pihak berkuasa tempatan akan memasukkan kemudahan pengguna basikal terutama di Kuala Lumpur dalam rancangan pembangunan mereka,” katanya yang turut berharap tempat pakir basikal turut disediakan bagi kemudahan pengguna basikal terutama di pusat bandar.
Pengalaman berbasikal di Kuala Lumpur
Berpeluang menunggang basikal bersama kumpulan Bike With Elena di beberapa jalan sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini memberi pengalaman baru kepada Dr Norhazliza Abd Halim, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Secara tidak lansung beliau merasai sendiri masalah serta kepayahan yang dilalui pengguna basikal setiap hari.
Beliau yang berkongsi pengalamannya berkata daripada pemerhatiannya sepanjang laluannya dari Jalan Semarak ke Jalan Jelatek menuju ke Jalan Ampang dan terus ke Kampung Pandan memang wujud konflik antara mereka yang menggunakan kereta, motosikal dan basikal serta pejalan kaki. Sesetengah jalan yang dibina tidak bersesuaian untuk pengguna basikal dan pejalan kaki kerana kereta dan motosikal akan bergerak laju dan ini boleh menjejaskan keselamatan pengguna basikal.
Terdapat halangan bagi pengguna basikal untuk menggunakan jalan utama di Kuala Lumpur hingga membuatkan kumpulan ini tidak bebas untuk ke mana-mana menggunakan pengangkutan tersebut.
“Apabila terdapat konflik, penunggang basikal terpaksa mencari jalan alternatif kerana tidak ada jalan khusus untuk mereka. Mereka dilihat seperti tidak ada kepentingan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.
Kata beliau, beberapa jalan yang dilalui memang terdapat ramai pengguna basikal termasuk mereka yang menggunakan basikal untuk ke stesen LRT.
Banyak basikal di pakir dikawasan tempat letak basikal di beberapa buah stesen LRT seperti Stesen LRT Ampang. Ini menunjukkan inisiatif yang tinggi daripada pihak berkuasa tempatan untuk pengguna basikal.
“Ia menunjukkan ramai yang menggunakan basikal. Saya juga melalui jalan alternatif yang sering digunakan pengguna basikal terutama pada waktu puncak untuk ke sekolah mahupun pejabat.
“Apabila melalui kawasan itu saya merasa lebih selamat kerana tidak menggunakan jalan utama dan berkongsi dengan kenderaan lain. Sekiranya laluan ini dinaikkan taraf tidak mustahil lebih ramai lagi yang akan menggunakan basikal sebagai pengangkutan,” katanya. – Bernama