Dinie dituduh pura-pura buta

Penyanyi Dinie Rashid, 29, menafikan kekerapannya memperkenalkan diri sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) demi menagih simpati.

Sebaliknya, Dinie, 29, penjelasan dibuat selepas ada yang salah sangka terhadapnya, selain mahu memberikan lebih pemahaman kepada masyarakat mengenai kecacatan dialaminya.

“Pernah berlaku apabila saya dicop menipu kerana pura-pura buta. Malah, ada juga anggap saya ‘lalok’ kerana nampak saya boleh berjalan, tetapi kadang-kadang tersepak sana-sini.

“Malah, paparan video bermain futsal ketika menjayakan sebuah program televisyen, tahun lalu turut menimbulkan rasa sangsi apabila ada yang beranggapan mana ada orang buta boleh bermain futsal.

“Tindakan saya memegang telefon bimbit turut menjadi pertikaian. Jadi, penjelasan ini bukan mahu merendah-rendahkan keupayaan diri, sebaliknya ini untuk makluman mereka yang belum mengenali saya,” katanya kepada media.

Dinie Rashid menafikan kekerapannya memperkenalkan diri sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) demi menagih simpati. – Agensi

Dinie ditemui pada majlis Indigital Music Night, baru-baru ini. Bagi peserta Big Stage 2020, dia mengharapkan tindakannya menjadi motivasi buat mereka yang senasib dengannya untuk melakukan perkara sama.

“Mungkin ada yang mengalami situasi seperti saya, tetapi rasa segan. Awalnya, saya pun begitu, tetapi sebagai penyanyi, saya ada rasa tanggungjawab untuk berikan pemahaman kepada masyarakat.

“Saya percaya ada yang fikir OKU penglihatan ini mengalami buta sepenuhnya. Sebab itulah saya akan terangkan sekiranya berkesempatan,” ujarnya.

Dinie atau nama sebenarnya, Muhammad Dinie Abdul Rashid berkata, dia mengalami sindrom ‘molecular dystrophy’ hingga mengakibatkan saraf pada bahagian mata rosak ketika berusia sembilan tahun.

Mengulas pencalonannya sebagai fianlis bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, jejaka berasal dari Pulau Pinang ini tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

“Walaupun kedengaran agak klise, tetapi saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang. Kerana saya sedar diri, masih baharu dalam industri muzik.

“Namun membolosi kelompok Top 5 sudah membuatkan saya bertuah kerana kita sedia maklum, ABPBH adalah anugerah yang berprestij.

“Jika muka saya terpampang dalam acara ini walaupun jangka masa yang singkat, itu pun sudah memadai kerana bukan semua artis mendapat peluang ini,” ungkapnya.

Ditanya siapakah pesaing terdekatnya, pantas Dinie menamakan model, pelakon dan kini bergelar penyanyi, Meerqeen sebagai calon yang mempunyai harapan cerah untuk memenangi kategori itu.

“Saya nampak Meerqeen lebih layak berdasarkan bakat dan kehebatannya. Mungkin Meerween ada harapan untuk membawa pulang trofi ini.

“Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong dan mengundi saya. Jika ada rezeki menang, saya terima. Jika tidak, tak mengapa, bukan rezeki saya,” ujarnya yang muncul dengan single baharu berjudul Cinta Di Paras Bahaya. – Agensi