Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dinobat bank terbaik di Asia Pasifik

    Oleh Imelda Groves HA

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah dinobatkan sebagai salah sebuah bank terbaik di Asia Pasifik (2018) sebagai pemenang negara untuk Brunei Darussalam oleh penerbit kewangan terkenal, Global Finance semasa Anugerah Bank Terbaik Tahunan ke-25, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, bank berkenaan diberikan penghormatan tersebut semasa majlis penganugerahan yang berlangsung semasa Mesyuarat Tahunan IMF/World Bank di Bali, Indonesia.

    Kenyataan itu memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi BIBD menyatakan amat bersyukur dan berbesar hati dengan pencapaian itu serta sungguh menghargai sokongan dan kepercayaan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kepada BIBD.

    “Pencapaian ini menunjukkan keupayaan institusi Brunei dan masyarakatnya di peringkat serantau, selaras dengan wawasan 2035 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk pencapaian rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi dengan diukur daripada standard antarabangsa.”

    Yang Berhormat Dato turut dipetik menyatakan bahawa mereka akan terus membina daripada kejayaan itu dan mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai salah sebuah bank terbaik di rantau ini, mencerminkan perkembangan Brunei sebagai sebuah destinasi pelaburan dan pelaburan langsung asing yang berdaya maju.

    BIBD telah dinobatkan sebagai salah sebuah bank terbaik di Asia Pasifik 2018 oleh Global Finance semasa Anugerah Bank Terbaik Tahunan ke-25, baru-baru ini.

    “Pada masa yang sama, kami akan mengasah tumpuan kami kepada mempromosikan kemasukan dan kesedaran kewangan di dalam negara,” tambah beliau.

    Sementara itu, Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar melahirkan rasa syukur dengan penganugerahan itu yang menunjukkan sokongan padu dari kerajaan, dedikasi pihak berkepentingan dan pengawal selia serta kepercayaan pelanggan BIBD yang terus mempunyai keyakinan untuk membina kerjasama sebagai rakan kongsi dalam kemajuan Brunei.

    Beliau percaya menerusi kerjasama itu, mereka akan terus menyumbang ke arah ekonomi mapan dan progresif serta pada masa yang sama, meneruskan sokongan masa depan dinamik Brunei dan penduduknya.

    Kenyataan itu turut memetik Penerbit dan Pengarah Editorial Global Finance, Joseph D Giarraputo dalam satu kenyataan akhbar, yang menyatakan bahawa para pemenang merupakan pemimpin bertaraf dunia yang memberikan tindak balas baik kepada perubahan politik, teknologi baharu dan keadaan pasaran yang berubah.

    Di samping menerima Anugerah Global Finance, BIBD juga menerima anugerah ‘Best Mobile Banking Application’ dan ‘Best Digital Bank in Brunei-2017’ daripada World Finance serta ‘Bank Runcit Terbaik di Brunei Darussalam’ oleh The Asian Banker bagi tahun keenam berturut-turut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda