Diogo Jota tumbangkan Sweden

LISBON, 15 OKT – Portugal beraksi tanpa Cristiano Ronaldo berikutan diuji positif COVID-19, namun dengan kemunculan Diogo Jota berjaya mengalahkan Sweden 3-0 semalam dan terus membawa Portugal ke puncak kumpulan Liga Negara-negara UEFA.

Dua jaringan daripada Diogo Jota dan satu jaringan oleh Bernardo Silva sudah cukup untuk menyamakan 10 mata dengan Perancis untuk terus berada di tempat pertama dalam Liga A Kumpulan 3.

Ronaldo, yang hanya dapat menonton perlawanan di televisyen dengan memakai jersi Portugal, terpaksa meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaannya setelah disahkan positif COVID-19 kelmarin.

Penyerang Juventus itu telah kembali ke Itali semalam untuk melakukan pengasingan diri.
Rakan sepasukannya di Portugal tidak mempunyai masalah ketika berhadapan dengan Sweden, yang kini telah kalah dalam keempat-empat perlawanan mereka di Liga Negara-negara dan berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan.

Sweden kini ketinggalan tiga mata di belakang Croatia, yang kalah 2-1 menentang Perancis di Zagreb.

Silva berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-21, hasil assist daripada Jota, yang memberikan hantaran kepada pemain tengah Manchester City itu, meskipun Jota memiliki peluang yang sangat baik untuk menjaringkan gol sendiri dalam posisi yang sangat baik.

Bintang Liga Perdana Inggeris, Jota menjaringkan gol kedua Portugal sebelum rehat ketika dia tidak dikawal melalui hantaran Joao Cancelo.

Pemain yang baharu ditandatangani Liverpool itu kemudian menjaringkan gol ketiga Portugal di minit ke-72 dengan jaringan individu yang luar biasa, membawa bola dari kiri sebelum menembusi pertahanan lawan dan melepasi penjaga gol Sweden, Robin Olsen. – AFP

Aksi Diogo Jota dari Portugal ketika menendang bola semasa perlawanan Liga Negara-negara UEFA antara Portugal dan Sweden di Stadium Jose Alvalade di Lisbon, Portugal, semalam. – AP