Dipaksa hadiri ceramah jika ingkar peraturan virus

KIGALI, 7 OGOS – Penduduk Rwanda yang melanggar perintah berkurung atau tidak memakai penutup mulut dan hidung akan dihantar ke stadium untuk mendengar ceramah sepanjang malam mengenai risiko koronavirus, tatkala negara mengamalkan pendekatan ketat untuk mengekang penularannya.

Sejak pertengahan Julai, angka rasmi menunjukkan kira-kira 70,000 orang yang dituduh tidak menghirau perintah berkurung dari 9 malam atau peraturan mengenai penutup mulut dan hidung telah diarahkan oleh polis untuk duduk mendengar ceramah selama beberapa jam di arena tempatan atau pusat tahanan.

Setiap malam, di stadium di seluruh Rwanda, pesanan kesihatan awam kedengaran melalui pembesar suara kepada hadirin yang duduk sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain, menggesa mereka supaya menjadi duta dalam kempen menentang virus baharu.

Sesi itu, dijalankan di bawah pengawasan pengawal bersenjata, berakhir pada subuh, apabila mereka yang hadir dibenarkan pulang dengan arahan ketat supaya mengasingkan diri.

Ratusan telah dikurung dalam kelas di arena di seluruh negara, termasuk stadium negara di Kigali. Media sering dijemput untuk hadir supaya gambar mereka yang ditegur disiarkan dengan tujuan menggalak orang lain supaya mematuhi peraturan. – AFP

Orang ramai yang tidak menghormati peraturan untuk mengelak penularan COVID-19 dipaksa duduk dan mendengar ceramah pencegahan selama beberapa jam di stadium Nyamirambo di Kigali, Rwanda. – AFP