INDRAMAYU, Indonesia – Ketika Eman Sulaeman merayu kepada ibu bapanya agar dia dapat bermain bola sepak, mereka sangat khuatir yang anak mudanya itu akan dihina, dilahirkan tanpa telapak kaki dan hanya mempunyai satu kaki penuh.
Tetapi dua dekad kemudian, penjaga gol warga Indonesia berusia 30 tahun itu telah membuatkan orang ramai merasa kagum kepadanya dengan aksi lincahnya seperti ‘kucing’ dan memberi mesej-mesej inspirasi terhadap mereka yang kurang upaya.
“Saya menangis selama beberapa hari, merayu kepada mereka (ibu bapa saya) untuk membelikan saya sebiji bola,” katanya kepada AFP pada satu perlawanan baru-baru ini di pekan kecil Indramayu, kira-kira 220 kilometer dari Jakarta.
“Mereka kemudian berlembut hati dan keluar mencarikan saya sebiji bola plastik yang murah.”
Peminat-peminat Sulaeman telah turun ke gelanggang futsal tempatan bagi menyaksikan perlawanan tersebut.


Mereka menangkap gambar dan bersorak apabila Sulaeman berjaya melindungi pintu golnya dengan aksinya yang tangkas dan lincah walau hanya dengan satu kaki dan anggota lainnya (dari lutut ke bawah).
Sorakan bertambah kuat apabila dia berjaya menendang bola ke jaring pasukan lawan dan memenangi perlawanan tersebut buat pasukannya. Peminat-peminatnya, terdiri daripada golongan muda, menunggu dengan sabar untuk berswafoto dengan wira mereka itu.
“Dia sangat memberi inspirasi,” kata Muhammad Faisal Bahri, 18 tahun.
“Walaupun dia, secara fizikalnya sangat berbeza daripada yang lain, semangatnya tetap kuat. Dia telah memberi motivasi kepada saya.”
Ianya tidak mudah bagi Sulaeman, seorang peminat tegar kepada bekas penjaga gol Manchester United, Edwin Van Der Sar dan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, yang mana terpaksa berlatih tanpa henti dan gigih untuk mengecapi apa yang dia perolehi pada masa ini.
“Saya telah menghabiskan masa yang lama untuk berjalan dengan seimbang sebelum saya mampu menendang bola,” katanya.
Ketabahan Sulaeman membuahkan hasil, dengan rakan-rakannya meminta Sulaeman untuk menyertai pasukan bola sepak tempatan selepas dia menamatkan pengajiannya dalam bidang ijazah sarjana muda kejuruteraan elektronik.
“Bola sepak bagi saya adalah sama seperti isteri saya. Teman wanita saya juga merasa cemburu kerana saya terlalu fanatik pada sukan ini,” katanya sambil tersenyum.
Namun, masih juga ada yang belum yakin.
“Pada kejohanan pertama saya, pengurus pasukan lain telah meragui kebolehan saya dan bertanyakan sama ada saya benar-benar mampu bermain,” katanya.
Walaupun menghadapi rintangan yang disebabkan oleh kecacatan lahirnya, namun Sulaeman tidak pernah memakai kaki palsu.
“Saya tidak suka memakai kasut. Tapi pernah satu ketika saya memakai kasut iaitu semasa satu perlawanan di Scotland,” katanya, sambil menambah bahawa ia adalah disebabkan syarat-syarat keselamatan penganjur.
Pada tahun 2016, dia telah menyertai pasukan Indonesia di Homeless World Cup di Glasgow. Tujuan penganjuran pertandingan bola sepak tahunan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap orang yang tidak mempunyai tempat tinggal dan biasanya membabitkan penagih dadah, pencari suaka dan atlet kurang upaya. Sulaeman telah dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik dalam kejohanan itu dan menjadi bualan mulut orang ramai.


“Ia seperti mimpi. Kali pertama saya berada di luar negara dan saya telah dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik,” katanya.
“Penonton, malah semua ahli jawatankuasa penganjur telah bersorak untuk saya. Saya sangat tersentuh.”
Media daripada British pada masa itu telah memuji Sulaeman dan dia beraksi ‘refleks seperti kucing.’
“Bola sepak sememangnya diminati oleh setiap bahagian masyarakat kita,” katanya.
“Orang kurang upaya seperti saya dan orang miskin boleh bersatu tanpa dipandang rendah atau dicaci.”
Bakat Sulaeman telah menarik perhatian agensi olah raga Jawa Barat, memberi harapan bahawa pihak kerajaan mungkin sahaja meningkatkan bantuan untuk para atlet yang kurang upaya.
“Kami baru-baru ini mengetahui bahawa atlet kurang upaya kami mempunyai bakat yang luar biasa dan mereka telah membuka mata kami bahawa jika mereka diberikan peluang yang sama, mereka mampu berjaya dalam apa sahaja,” kata jurucakap agensi Dani Ramdan.
Sulaeman, yang mempunyai kedai pembaikan elektronik, bertekad untuk menyebarkan cintanya kepada sukan itu dengan menubuhkan komuniti peminat sukan futsal di kampung halamannya Majalengka dan menjadi jurulatih bola sepak di beberapa sekolah menengah tempatan.
Dia mengimpikan untuk bersaing dalam satu acara utama seperti Sukan Paralimpik suatu hari nanti dan berharap bahawa dia akan terus menjadi sumber inspirasi bagi atlet kurang upaya lainnya.
“Kita mesti yakin dan bermotivasi untuk mengeluarkan potensi dalam diri kita,” katanya.
“Walaupun kita (orang kurang upaya) mempunyai batasan, dalam batasan itu terdapat perkara yang luar biasa.” – AFP