KARACHI, 24 MAC – Pakistan telah memecat enam orang kakitangan awam selepas mereka berswafoto bersama seorang pesakit koronavirus di pusat kuarantin, kata seorang pegawai hari ini.
Swafoto itu, dikongsi di media sosial, menggambarkan sekumpulan lelaki mengelilingi pesakit, ada di antara mereka tersenyum dan tidak memakai topeng muka.
Gambar itu diambil di sebuah pusat kuarantin berhampiran Sukkur di wilayah Sindh yang terjejas oleh virus, di mana 399 daripada 892 kes COVID-19 telah dicatat di negara itu setakat ini.
“Enam daripada kakitangan kerajaan telah dipecat dan ditempatkan dalam kuarantin,” beritahu penolong pesuruhjaya di Sukkur, Rana Adeel, kepada AFP. Pesuruhjaya itu menambah enam kakitangan jabatan darat wilayah melawat seorang ahli politik yang dikuarantin selepas dijangkiti koronavirus ketika satu kunjungan ke Iran.
Penggantungan dilakukan tatkala Pakistan masih menutup sebahagian besar negara untuk membendung penularan virus tersebut.
Polis Sindh melaporkan lebih daripada 700 orang telah ditahan di Karachi sejak semalam apabila wilayah mengumumkan perintah berkurung.
Pakistan mempunyai sejarah kegagalan mengekang penyakit berjangkit seperti polio, tuberkulosis dan hepatitis. Setakat ini, pihak berkuasa telah mengesahkan enam kematian akibat koronavirus. – AFP