Dipecat kerana hamil, ganti rugi RM40,000

PUTRAJAYA, 15 Mei – Ibu empat anak yang kontraknya sebagai guru sandaran tidak terlatih ditamatkan kerana hamil sembilan tahun lepas, diberikan RM40,000 sebagai ganti rugi am oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Panel lima hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Zaharah Ibrahim, Datuk Seri Balia Yusof dan Datuk David Wong Dak Wah memberikan ganti rugi tambahan RM10,000 kepada Noorfadilla Ahmad Saikin.

Mahkamah, bagaimanapun mengetepikan ganti rugi sebanyak RM10,000 yang diberikan Mahkamah Rayuan kepada Noorfadilla pada 2016 bagi kesengsaraan dan penderitaan dialaminya.

Pada 2007, Noorfadilla menyaman Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat Chayed Basirun; Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Ismail Musa dan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan, Dr Zahri Aziz serta kerajaan berhubung penamatan kontraknya sebagai guru sandaran tidak terlatih.

Beliau memohon diisytiharkan bahawa penamatan kontraknya atas alasan beliau hamil tiga bulan, adalah tidak sah.

Pada 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan penting bahawa kehamilan bukan alasan sah untuk Jabatan Pendidikan Selangor menafikan penggajian Noorfadilla sebagai guru sandaran tidak terlatih. – Bernama