Dipenjara 12 bulan curi telefon bimbit

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Seorang lelaki warga tempatan telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas kesalahan mencuri telefon bimbit dari sebuah kedai di kawasan komersil Sengkurong, baru-baru ini.

Mohammed Zulzamrin bin Zulkifli mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan disabitkan kesalahan oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.

Fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud menyatakan bahawa pada 15 Ogos 2020, tertuduh telah meminta kawannya menumpangkannya ke kawasan komersil Sengkurong dan tiba di sana selepas pukul 1:30 petang, apabila tertuduh mengarahkan kawannya untuk menunggunya di kawasan letak kereta berdekatan bank di Sengkurong.

Tertuduh kemudiannya menuju ke kedai telefon bimbit dengan menggunakan topi hitam berserta penutup mulut dan hidung di mana tertuduh meminta jurujual wanita di kedai tersebut untuk menunjukkannya satu telefon bimbit Realme C3 32GB berwarna biru yang sebelumnya disimpan dalam kabinet paparan kaca. Jurujual itu kemudiannya membantu tertuduh dan memberikan telefon bimbit itu kepada tertuduh yang kemudian berlari keluar kedai bersama telefon bimbit berkenaan.

Jurujual tersebut cuba mengejar tertuduh sambil berteriak meminta bantuan. Dua pekerja KFC Sengkurong di kawasan tersebut kemudian turut mengejar tertuduh dan akhirnya dapat mencekupnya berdekatan perhentian bas. Seorang individu turut membantu dengan memeriksa poket tertuduh dan mengambil telefon bimbit dicuri.

Tertuduh kemudiannya diserahkan kepada pihak polis susulan laporan yang dibuat dan siasatan telah dilakukan dengan bukti daripada mangsa, saksi mata serta orang awam yang datang membantu mangsa di samping rakaman kamera CCTV di kedai tersebut.

Majistret Hajah Ervy ketika menjatuhkan hukuman menekankan bahawa tertuduh telah merancang untuk melakukan kesalahan dengan bersiap sedia menggunakan topi hitam dan penutup mulut dan hidung bagi menyembunyikan identitinya yang mana turut diakui oleh tertuduh.