Dipenjara 12 tahun laku ‘keganasan’

HANOI, 11 NOV – Vietnam hari ini memenjarakan seorang penentang dengan kerakyatan Australia selama 12 tahun atas dakwaan melaku keganasan, beritahu peguamnya kepada AFP, dalam negara di mana kritikan antikerajaan sering ditumpaskan.

Chau Van Kham, yang bertempur menentang komunis ketika Perang Vietnam, adalah anggota kumpulan Viet Tan dan berada di Vietnam untuk misi mencari fakta apabila beliau ditahan pada Januari.

Beliau dipenjarakan hari ini selama 12 tahun kerana melaku ‘keganasan ke atas Pentadbiran Rakyat’ dan akan dihantar pulang selepas beliau menjalani hukumannya, beritahu peguamnya Trinh Vinh Phuc kepada AFP.

Kham dipenjara bersama Nguyen Van Vien, yang menerima 11 tahun, dan Tran Van Quyen yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, kedua-duanya atas dakwaan yang sama.

“Di mahkamah, Kham berkata beliau tidak melaku sebarang aktiviti pengganas, kegiatannya adalah bersifat aman,” beritahu Phuc kepada AFP selepas perbicaraannya di Bandar Ho Chi Minh.

Anak lelakinya memberitahu AFP beliau ‘terkejut’ dengan keputusan itu, yang mungkin melihat bapanya dipenjarakan sehingga dia berusia 80 tahun jika rayuannya gagal.

“Ia adalah keputusan paling teruk,” beritahu Dennis Chau kepada AFP dari Britain, di mana beliau menetap.

Kham dan Vien ditahan pada 13 Januari di Bandar Ho Chi Minh, dua hari selepas Kham memasuki Vietnam menerusi Kemboja.

Beliau berada dalam negara untuk menjalankan penyelidikan hak asasi manusia dan bertemu dengan aktivis dan ahli persatuan awam, beritahu Viet Tan kepada AFP. – AFP