Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Mahkamah Perantaraan hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan setiap seorang ke atas dua lelaki tempatan kerana memindahkan minyak secara haram ke kapal lain ketika berada di perairan negara.
Ahmad Marzuqi bin Musaddad dan Awangku Abdul Hafiz bin Pengiran Ibrahim terdahulu didakwa bersama yang lainnya yang telah mengaku bersalah dan menerima hukuman mereka ketika itu.
Manakala kedua-dua mereka telah meminta untuk dibicarakan atas tuduhan bersubahat dan telah didapati bersalah oleh Hakim Harnita Zelda Skinner.
Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin membuktikan kes terhadap kedua-dua mereka di sebalik keraguan munasabah mahkamah.
Pertuduhan menyatakan bahawa kedua-dua mereka, yang bekerja di atas kapal Amarco 9, telah terlibat dalam persubahatan dengan orang lain, di mana sebahagiannya masih bebas, untuk melakukan pecah amanah jenayah dengan melesapkan 8,000 liter bahan api diesel milik salah sebuah syarikat pengeluar minyak dan gas tempatan antara pukul 10 dan 11:30 malam pada 29 Julai 2019 yang lalu.
Pertuduhan selanjutnya menyatakan bahawa sementara kapal itu berada di perairan di luar Sungai Belait, defendan melakukan kesalahan dengan mengepam keluar bahan api bernilai lebih $5,000 ke dalam kapal yang tidak diketahui.
Sementara itu, peguam bela Rozaiman Abdul Rahman mewakili kedua-dua defendan.