Dipenjara 16 bulan curi emas daripada mayat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan terhadap seorang lelaki tempatan yang mengaku bersalah melesapkan harta benda daripada mayat wanita berusia 43 tahun dan gagal melaporkan kematiannya.

Perbuatan Mohammad Rafi Ezamdie bin Muhammad Daud yang berusia 30 tahun didedahkan dalam fakta kes yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.

Pada pukul 7:31 malam 7 Ogos lalu, pihak polis menerima maklumat daripada seorang lelaki berusia 58 tahun bahawa terdapat mayat di dalam sebuah kereta berhampiran kebunnya.

Lelaki itu memberitahu bahawa dia membuat penemuan tersebut selepas didekati oleh seorang lelaki lain di kebun itu awal sebelumnya. 

Laporan itu kemudiannya membawa kepada penahanan defendan pada 14 Ogos.

Semasa siasatan lanjut, tertuduh memberitahu polis bahawa dia pergi ke kebun di Jalan Mumong, Kuala Balai itu selepas tengah hari, untuk mendapatkan beberapa buah untuk dijual.

Semasa membelok untuk masuk ke kebun, dia melihat sebuah kereta diletakkan di tepi jalan. Dalam perjalanan keluar, sejam kemudian, tertuduh berhenti untuk memeriksa kereta berkenaan dan melihat seseorang yang kelihatan sedang tidur di dalamnya.

Tertuduh membunyikan hon keretanya tiga kali, tetapi tiada tindak balas, dia kembali ke kereta itu dan membuka pintu sebelum mendapati orang itu sudah tidak bernyawa.

Sekali lagi, tertuduh membunyikan hon keretanya, kali ini untuk menarik perhatian pemilik kebun berusia 58 tahun yang dimaklumkannya mengenai penemuan itu.

Tertuduh kembali memeriksa mayat tersebut di mana dia menanggalkan seutas rantai, gelang dan cincin emas, menggunakan gunting yang ditemuinya dalam kereta sama.

Semasa tertuduh pergi, dia didatangi oleh pemilik kebun lagi yang memintanya untuk melaporkan perkara itu kepada polis.

Sebaliknya, tertuduh pergi berjumpa kawannya yang membantunya untuk menjual barang kemas emas itu dengan harga $500.

Tertuduh kemudian membeli telefon bimbit dengan wang tunai itu dan menghabiskan selebihnya untuk membeli makanan, dadah dan memberikan $50 setiap seorang kepada rakannya kerana membantunya menjual barang kemas berkenaan.

Pihak pendakwaan juga memberitahu mahkamah bahawa siasatan terhadap pembunuhan wanita itu masih lagi dijalankan.

Kes dikendalikan oleh Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman.