Dipenjara 16 bulan curi kereta

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Mahkamah Majistret hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara selama 16 bulan ke atas seorang lelaki tempatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kereta.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohammad Sofri bin Zaini @Sinen, 41, yang melakukan kesalahan curi pada 14 Ogos lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Aeny Zullizam mendedahkan di mahkamah bahawa tertuduh pada mulanya berjumpa seorang kawan yang meminta bantuannya untuk mencari sebuah Toyota Kijang.

Antara jam 2 hingga 6 pagi di Kampung Delima pada hari itu, dia melewati sebuah rumah yang mempunyai sebuah Toyota Kijang yang diletakkan di perkarangan rumah tersebut dan merancang untuk mencurinya.

Dia kemudian meletakkan keretanya tidak jauh dari rumah yang disasarkan, berjalan dan memastikan tidak ada orang memerhatikannya ketika dia memasuki perkarangan rumah tersebut. Dia seterusnya membuka pintu Toyota Kijang yang tidak berkunci dan menghidupkan enjinnya menggunakan kunci keretanya sendiri.

Setelah enjin dihidupkan, dia memandu untuk berjumpa rakannya dan menjualnya dengan harga $200. Pemilik kereta yang menyedari keretanya hilang pada pagi itu membuat laporan polis dan siasatan polis membawa kepada penangkapan tertuduh. Kereta yang dicuri berjaya ditemui semula.