Dipenjara 16 bulan dera anak majikan

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Mahkamah Perantaraan, di sini, hari ini, telah menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia atas kesalahan mendera anak majikannya yang menangis dan enggan tidur.

Menurut fakta kes, Lisma Deti, 41, marah dengan kanak-kanak berusia tiga tahun itu kerana belum mahu tidur, ketika ahli keluarganya bekerja. Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali memaklumkan Hakim Harnita Zelda Skinner bahawa defendan menekan muka mangsa ke tilam, memukul mukanya dengan tangan malah mendirikan, mengangkat dan melontarnya semula ke tilam. Ibu mangsa berusia 36 tahun, memeriksa rakaman CCTV di rumahnya di Gadong pada 19 Mei mengesan tindakan defendan itu.

Beliau segera membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan defendan. Defendan mengakui tindakannya itu dan kecederaan pada mangsa disahkan oleh pihak Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dalam pemeriksaan fizikal.