Dipenjara 24 bulan curi wang rakan sekerja

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhi hukuman penjara 24 bulan ke atas seorang lelaki tempatan selepas dia mengaku bersalah mencuri wang tunai berjumlah hampir $900 daripada seorang rakan sekerja.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli di mahkamah semalam, Muhammad Sanif bin Sulaiman @ Nap anak Ajong, 38, bekerja sebagai petugas pelantar laut di sebuah syarikat yang bertempat di SPARK Sungai Liang.

Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman mendengar kes daripada pendakwa bahawa defendan memerhati mangsa mengambil barang kepunyaannya dari kereta yang diletak di tempat kerja mereka apabila defendan melakukan perbuatan mencuri, membuka pintu kereta yang tidak berkunci dan mencuri wang tunai dari dalam sebuah beg dalam keempat-empat kejadian.

Pada Jun, defendan melarikan diri dengan wang tunai $250, $250 lagi pada Julai, $340 sekali lagi pada Julai dan $24 pada bulan ini.