Dipenjara 4 tahun kerana bersubahat

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Salah seorang lelaki yang terlibat dalam perbicaraan yang berkaitan dengan kes pembunuhan di Kuala Lurah pada tahun 2017 dijatuhi hukuman penjara empat tahun setelah dia mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan pembunuhan.

Haji Tuah bin Haji Tarip, 58, mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dengan pembunuhan tanpa niat, menyebabkan kematian Haji Aziz bin Haji Johara dalam kejadian pada 12 Julai 2017 berhampiran Pos Kawalan Kuala Lurah. Timbalan Pendakwa Raya Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani dan Siti Nurjauinah binti Haji Kula menyatakan bahawa defendan memandu pulang ke Negara Brunei Darussalam dari Limbang ketika dia memberhentikan keretanya di tepi jalan berhampiran Pos Kawalan Kuala Lurah dan menyertai sekumpulan lelaki termasuk rakannya yang berkumpul di sana.

Defendan dimaklumkan oleh salah seorang rakannya bahawa mereka berniat menyerang seseorang dan rakannya sebagai membalas dendam atas serangan terhadap dua ahli kumpulan mereka.  Kumpulan itu bagaimanapun tidak menemui individu yang mereka sasarkan, tetapi defendan melihat keretanya dipandu oleh mangsa, melintasi Pos Kawalan Kuala Lurah menuju ke Bandar Seri Begawan, dan defendan memberitahu kumpulan itu bahawa individu yang dicari berkemungkinan berada di dalam kereta bersama mangsa.

Defendan berada di tempat kejadian ketika rakan defendan dan kumpulan lelaki yang bersenjatakan pisau, katana dan pemukul besbol menghampiri kereta dan menyerang dan membunuh mangsa.

Dalam penghakiman hari ini, Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong dan Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menyatakan bahawa ‘Tatkala defendan tidak terlibat dalam serangan fizikal ke atas mangsa, kesalahannya terletak pada hasutannya atas serangan terhadap mangsa dan mengetahui bahawa mereka dilengkapi senjata berbahaya dan kemungkinan menyebabkan kematian.’

Mahkamah seterusnya berkata bahawa ‘mereka yang melakukan kekerasan harus memahami bahawa jika kematian terjadi akibat daripada keganasan itu, walau tidak disenghajakan, pasti akan membawa hukuman berat.’

Para hakim tidak menganggap keadaan mabuk sebagai faktor untuk mengurangkan hukuman seperti yang dikemukakan oleh peguam untuk defendan, Ang Swee Kian.

Mahkamah selanjutnya memerintahkan hukuman penjara empat tahun defendan adalah bermula daripada tarikh direman.

Perbicaraan terhadap tiga lelaki lain dalam kes ini akan didengar pada 7 September 2020 di Mahkamah Tinggi.