Dipenjara 4 tahun kerana bersubahat

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Seorang lelaki yang didapati bersalah selepas perbicaraan atas tuduhan membantu rakannya menggunakan wang palsu, dijatuhi hukuman empat tahun penjara oleh Mahkamah Perantaraan hari ini.

Hukuman terhadap tertuduh, Mohammad Rizal bin Haji Mohd Yazid dijatuhkan Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail yang mendapati tertuduh memainkan peranan ‘bersubahat’ di mana dia mengetahui wang yang dimilikinya adalah palsu.

Mohammad Rizal membantu rakannya, Mohd Noorhafiez bin Mohammad menggunakan wang palsu $50 sebagai asli pada 3 Ogos 2018.

Rakannya ketika dihadapkan telahpun mengaku bersalah manakala Mohammad Rizal mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada Jun 2019.

Pihak pendakwa dalam hujahannya memaklumkan mahkamah yang tertuduh melakukan kesalahan serius, yang mana kesalahan berkaitan wang palsu sering dikenakan hukuman berat kerana melanggar integriti sistem kewangan.

Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff memanggil lima saksi termasuk Mohd Noorhafiez.

Semasa perbicaraan, pihak pendakwa membuktikan bahawa dalam kejadian sekitar 3 Ogos 2018, Mohd Noorhafiez berada di rumah sewa tertuduh, dan ditunjukkan oleh tertuduh sampul surat yang mengandungi beberapa keping wang $50.

Selepas memeriksa wang itu, Mohd Noorhafiez menyedari yang wang itu adalah palsu kerana notanya diperbuat daripada kertas.

Tertuduh juga memberitahunya yang wang itu adalah palsu.

Mohd Noorhafiez kemudian meminta $50 untuk membeli nasi, dan tertuduh memberinya wang palsu itu.

Mohd Noorhafiez membeli dua nasi katok di gerai di Lambak Kanan menggunakan wang palsu $50, dan menerima baki $40 memandangkan pekerja gerai tidak mempunyai wang yang lebih kecil.

Mohd Noorhafiez kemudian kembali ke rumah tertuduh, dan berkongsi nasi katok dan baki wang $40.

Laporan polis dibuat pekerja gerai yang kemudian menyedari wang $50 yang diterimanya daripada Mohd Noorhafiez adalah palsu.

Siasatan polis membawa tangkapan tertuduh dan Mohd Noorhafiez.

Semasa perbicaraan juga, pihak pendakwa memanggil pegawai dari Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) yang memberi keterangan dan mengesahkan bahawa $50 yang digunakan adalah wang palsu.

Tertuduh bagi pembelaannya menafikan kesalahannya, dengan mendakwa yang dia tidak pernah memberikan wang palsu itu kepada Mohd Noorhafiez.

Sebaliknya, dia mendakwa memberi amaran kepada Mohd Noorhafiez untuk tidak menggunakannya malah memberitahu mahkamah yang dia berada di Temburong ketika itu bersama keluarganya namun gagal memanggil mana-mana saksi untuk mengesahkannya.

Tertuduh dalam keterangannya mendakwa telah menerima wang palsu itu daripada transaksi perniagaan.

Dia mendakwa mengesyaki wang itu adalah palsu tetapi di sebalik kecurigaannya, dia masih menggunakannya untuk membeli rokok berharga $2 di Lambak Kanan, dan menerima baki $48.

Daripada keterangan yang diberikan tertuduh, mahkamah melihatnya sebagai petunjuk bahawa keaslian wang tidak penting bagi tertuduh, yang mana hakim memberi kesimpulan bahawa terlalu banyak percanggahan antara keterangan lisan dan keterangannya kepada polis.

Tertuduh memilih untuk tidak melaporkannya kepada pihak berkenaan sebaliknya membantu rakannya, Mohd Noorhafiez untuk melakukan kesalahan, kata Hakim Pengiran Hajah Norismayanti lagi.

Hakim Pengiran Hajah Norismayanti mendapati tertuduh bukan saksi yang boleh dipercayai dan turut memberi kesimpulan bahawa pembelaannya hanyalah ‘dibuat-buat’.