Dipenjara 6 bulan curi periuk nasi dan cerek jag

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Seorang lelaki warga Filipina yang mengaku bersalah mencuri periuk nasi dan cerek jag dari kedai tempatnya bekerja dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Hukuman terhadap Roel Dizon Niro, 38, diputuskan Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman yang turut memerintahkan tertuduh membayar harga bagi barang yang dicurinya, dan jika gagal akan berdepan tambahan satu minggu penjara.

Dalam kejadian sekitar April 2020, tertuduh terlihat satu periuk nasi Miyako dipamerkan di tingkat atas kedai, dan berniat untuk mencurinya.

Dia kemudian menyembunyikan periuk nasi itu dalam lif pemunggahan barang.
Apabila waktu kerjanya berakhir, tertuduh mengambil periuk nasi itu dan membawanya pulang ke kediaman pekerja untuk kegunaannya.

Dalam kejadian lain sekitar Mei 2020, tertuduh sekali lagi mencuri cerek jag jenama Cornell dari tempatnya bekerja.

Dia menyembunyikan cerek jag dalam lif pemunggahan sehingga tamat waktu kerja sebelum membawanya pulang untuk kegunaannya.

Kehilangan periuk nasi dan cerek jag hanya disedari pada 18 Mei 2020 apabila pemeriksaan stok pada barang yang dipamerkan dan sistem jualan tidak selari.

Siasatan kemudian dijalankan di kediaman pekerja pada hari sama, dan menemukan periuk nasi serupa yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Tertuduh mendakwa periuk nasi itu dibelinya namun gagal menunjukkan bukti pembelian.
Keesokan harinya, tertuduh mengembalikan periuk nasi tersebut dan mengakui kesalahannya di mana dia juga mengaku telah membuang cerek itu apabila pemeriksaan dijalankan di kediaman pekerja.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.

Periuk nasi yang sebelum ini dilaporkan hilang ditemui di kediaman pekerja.