Dipenjara 6 bulan kerana curi kasut

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Mahkamah Majistret pada Sabtu lepas telah menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan ke atas seorang wanita tempatan yang mengaku bersalah kerana mencuri sepasang kasut yang dilakukannya bersama seorang lagi lelaki yang ketika ini masih lagi bebas.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Firdaus Mohammad mendedahkan kepada mahkamah bahawa Haslina binti Mohd Sufri, 34, telah menumpangkan seorang lelaki bernama Boi yang ketinggalan bas.

Kejadian berlaku pada 5 September lalu apabila tertuduh mengambil Boi dari salah sebuah perhentian bas menuju ke rumahnya.

Walau bagaimanapun dalam perjalanan tersebut, tertuduh memberhentikan kenderaannya di tepi jalan berhadapan dengan sebuah rumah yang tidak dipagari dan mengarahkan Boi untuk mencuri sepasang kasut Nike Tempo yang diletakkan di luar rumah di STKRJ, Lorong 3 Selatan, Seria.

Mereka kemudiannya beredar meninggalkan tempat kejadian dan menuju ke rumah tertuduh.
Sejurus tiba di rumah tertuduh, Boi tidak ingin mengikut tertuduh dan terus pergi secara bersendirian.

Tertuduh kemudian mengambil kasut dan menyimpan di bawah katilnya. Pada keesokan harinya pemilik kasut tersebut memeriksa rakaman kamera CCTV ketika menyedari akan kehilangan kasutnya.

Pemilik kasut tersebut juga mendapati rakaman terhadap tindakan Boi lalu menunjukkan bukti rakaman tersebut kepada polis semasa membuat laporan.

Ia akhirnya menyebabkan kepada penahanan tertuduh dan penyiasatan mendapati bahawa tertuduh ingin menjual kasut curi tersebut untuk pergi ke Bandar Seri Begawan.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid mendapati tertuduh tidak menzahirkan rasa kesal kerana tertuduh juga turut mempunyai sabitan kesalahan sebelumnya atas kesalahan yang serupa.