Dipenjara dua bulan ceroboh bangunan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Seorang lelaki yang menceroboh bangunan dijatuhi hukuman dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, setelah mendapatinya bersalah selepas perbicaraan.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu memutuskan hukuman itu terhadap Raduan bin Japar, 35, selepas berpuas hati dengan pihak pendakwa yang berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Terdahulu, tertuduh didakwa menceroboh bekas bangunan Siasatan Jenayah di Jalan Ong Sum Ping pada 17 Julai 2019 sekitar jam 4 petang.

Kehadirannya di kawasan bangunan itu disedari oleh pengawal keselamatan bertugas yang kemudian membuat laporan polis. Pemeriksaan menemukan tertuduh berada di tingkat lima bangunan.

Tertuduh dalam pembelaannya semasa perbicaraan mendakwa bahawa dia berada di bawah pengaruh alkohol dan tidak mengetahui yang dia telah menceroboh ke dalam bangunan tersebut.

Dia mendakwa berhenti di bangunan itu untuk merehatkan diri, yang mana dia turut mendakwa menghadapi kesukaran dalam kehidupan harian, perbelanjaan anak-anak selain mempunyai masalah keluarga.

Pihak pendakwa dalam hujahan balas memberitahu mahkamah bahawa alasan ‘di bawah pengaruh alkohol dan tidak mengetahui telah melakukan ceroboh’ seperti yang didakwa tertuduh bukanlah satu pembelaan meskipun tertuduh mengakui telah meminum 12 tin minuman keras sebelum pergi ke bangunan itu.

Masalah peribadi bukanlah alasan untuk tertuduh menceroboh bangunan tersebut, hujah pihak pendakwa sambil menambah yang tertuduh sendiri menyedari yang dia berada di dalam bangunan itu.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.