Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Seorang lelaki warga Vietnam yang berdepan tuduhan hidup melalui hasil aktiviti pelacuran dijatuhi hukuman enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Hukuman dijatuhkan Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman terhadap Le Van Linh, 27, yang menukar pengakuannya kepada bersalah.
Tertuduh didakwa memperoleh pendapatan melalui aktiviti ‘tidak bermoral’ daripada seorang wanita warga Vietnam berusia 22 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari dan September 2018. Menurut fakta kes, tertuduh memasuki negara ini pada 11 Januari 2018 menggunakan pas melawat.
Dia direkrut oleh rakan senegaranya untuk menjadi pemandu bagi wanita Vietnam yang terlibat dalam aktiviti pelacuran.
Tertuduh menyediakan khidmat pengangkutan dan menyewakan tempat tinggalnya kepada wanita itu yang telah membayar tertuduh dengan wang yang diperoleh melalui aktiviti tidak bermoral. Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nor ‘Adilatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi.