Dipenjara gara-gara curi basikal

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Seorang lelaki yang mencuri sebuah basikal trek dihukum 16 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhi hukuman terhadap Shahroon bin Haji Sulaiman, 41, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Fakta kes menyebut, tertuduh sekitar jam 2:25 petang pada 4 September 2019 sedang mengutip tin-tin minuman untuk dijual apabila ternampak satu basikal trek diletakkan berdekatan tangga di belakang restoran di Setia Kenangan 2, Kiulap.

Dia kemudian meninggalkan kawasan itu dengan menunggang basikal tersebut.
Sebaik tiba di rumahnya di Kampung Peramu, tertuduh mengambil rantai dan kunci mangga, dan menguncikan basikal itu di luar kawasan Masjid Kampung Tamoi.

Laporan polis dibuat tukang masak restoran selepas menyedari basikal yang dipinjam dari rakannya itu hilang ketika meninggalkannya untuk tempoh lima minit.

Tertuduh diberkas polis pada 2 Disember 2019 jam 5:48 petang, dan basikal itu ditemui dirantai di kawasan laluan pejalan kaki di Kampung Tamoi. Dalam rekod mahkamah, tertuduh mempunyai pelbagai kesalahan berkaitan curi antara tahun 1994 dan 2018.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Ahmad Ghazali.