NAIROBI, 13 Julai – Seorang wanita yang juga saksi satu kes mahkamah yang sedang dibicarakan, dipenjara dan didenda apabila deringan kuat telefon bimbitnya itu mengganggu prosiding mahkamah.
Julia Wanja dari Murang’a, yang hadir ke mahkamah semalam sebagai saksi perbicaraan kes biasa berkaitan tanah, dipenjarakan selama lapan jam dan diarah membayar denda sebanyak 500 shilling (AS$4.80) apabila telefonnya berdering sebanyak dua kali ketika perbicaraan sedang berlangsung.
Dalam keadaan kalut, Wanja dilihat mencuba mematikan telefonnya apabila ia berdering dengan kuat di dalam kamar mahkamah. Gelagatnya itu menyebabkan semua mata tertumpu kepadanya dan prosiding kes turut terhenti seketika.
Majistret Walter Onchuru yang sedikit terganggu dengan keadaan itu memberinya amaran, bagaimanapun membenarkan Wanja keluar untuk menjawab panggilan berkenaan.
Bagaimanapun, malang sekali bagi wanita itu apabila sebaik sahaja dia masuk semula dan ingin duduk, telefonnya sekali lagi berdering dengan deringan yang lebih kuat berbanding sebelumnya. Kali ini, dia tidak lagi bernasib baik apabila polis mahkamah segera mengusirnya daripada tempat duduk. Wanja dibawa ke hadapan majistret yang memerintahkan dia dipenjara lapan jam dan membayar denda berikutan insiden itu. – Bernama