Sunday, March 16, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipenjara kerana curi motosikal

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Seorang anak yang mencuri motosikal milik bapanya, dijatuhi hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

    Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim memutuskan hukuman itu terhadap Khairul Iqbal bin Hassan, 33, yang mengaku bersalah mencuri motosikal GPI Supermotor 250 dari kawasan rumah bapanya di Jalan Setia Pahlawan, Kuala Belait antara 23 dan 24 Julai 2018.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan dua rakannya pergi ke rumah bapanya menaiki kereta yang dipandu rakannya.

    Setiba di kawasan rumah, tertuduh mengambil pemotong rantai yang ditemui di luar rumah dan terus memotong rantai yang dikunci pada motosikal itu.

    Tertuduh dan seorang rakannya kemudian menolak motosikal itu ke rumah kosong yang berhampiran dan meninggalkannya untuk mendapatkan kereta yang dapat memuatkan motosikal itu.

    Tidak lama kemudian, tertuduh dan tiga lagi rakannya kembali semula ke rumah kosong itu, dan menolak motosikal itu ke bahagian belakang sebuah kereta, dan membawanya ke rumah teman wanitanya.

    Motosikal itu diberikan kepada rakan tertuduh untuk dijual. Laporan polis dibuat bapa tertuduh sebaik menyedari motosikalnya hilang dan pihak polis berjaya mendapatkan semula motosikal itu. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor’ Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda