Dipenjara kerana menceroboh untuk mencuri

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan menceroboh untuk mencuri.
Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhi hukuman penjara selama 16 bulan ke atas Awangku Mohammad Azri bin Pengiran Muda.

Tertuduh pada kira-kira jam 5 hingga 7 pagi pada 25 Julai lalu telah berjalan dari sebuah hotel menuju ke sebuah bangunan di Bandar Seri Begawan dan kemudian naik ke tingkat satu dan menuju ke bangunan bersebelahan.

Setelah sampai di bangunan tersebut, tertuduh cuba untuk mencari pintu yang tidak terkunci dengan tujuan menceroboh masuk untuk mencuri.

Walau bagaimanapun, tertuduh gagal menemukan pintu yang tidak berkunci yang kemudian mendorongnya untuk naik ke tingkat lima bangunan tersebut dengan menggunakan lif.

Setelah sampai di tingkat lima, tertuduh kemudian menuju ke ruang pejabat Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan memeriksa pintu hadapannya dan mendapatinya tidak berkunci.

Tertuduh kemudiannya memasuki pejabat tersebut dengan niat untuk mencuri. Sejurus sahaja memasuki pejabat berkenaan, tertuduh memasuki salah sebuah bilik yang tidak berkunci lalu menggeledahnya bagi mencari barang untuk dicuri namun tidak berjaya.

Tertuduh kemudiannya menuju ke bilik lainya dan menggeledah bilik kedua untuk mencari barang untuk dicuri. Tertuduh kemudian menjumpai satu beg kertas yang mengandungi jug plastik, di mana tertuduh mencurinya namun masih berada di bilik tersebut.

Pada kira-kira jam 7 pagi, pengadu tiba di pejabat tersebut dan mendapati tertuduh sedang duduk di dalam bilik tersebut dengan memegang beberapa barang di tangannya lalu pengadu mengunci bilik tersebut dari luar.

Pengadu kemudian memberitahu hal tersebut kepada pengawal keselamatan di bangunan tersebut, di mana pengawal keselamatan bangunan menuju ke pejabat berkenaan dan berjaya menangkap tertuduh lalu membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh.

Dalam siasatan polis, tertuduh mengaku bahawa pada 25 Julai 2020 kira-kira antara jam 5 hingga 7 pagi memecah masuk ke pejabat tersebut dengan niat untuk mencuri dan mengaku hanya menjumpai beg kertas yang mengandungi jug plastik untuk dicurinya.

Sementara itu pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hidayatul Aeny Alisah binti Haji Zullizam.