Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipenjara kerana tinggal lebih tempoh

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Dua orang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan tinggal melebihi tempoh di negara ini.

    Dedik Wahyudi, 34, dihukum sembilan bulan penjara dan tiga sebatan oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman kerana tinggal selama 1,895 hari setelah pas kerjanya mansuh pada 15 Mac 2013 sehingga dia diberkas.

    Pegawai Pendakwa Imigresen, Pengiran Norariffin bin Pengiran Haji Hashim memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh ditahan pada 23 Mei 2018 oleh penguat kuasa imigresen selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

    Dia mendakwa pasportnya hilang pada tahun 2016.

    Siasatan mendapati tertuduh dikeluarkan pas melawat yang sah untuk satu minggu selepas masuk ke negara ini pada 8 Mac 2013. Tidak ada lanjutan tempoh dibuat selepas tarikh mansuh pas melawat tersebut.

    Dalam bilik mahkamah sama, Supriyadi berusia 32 tahun dijatuhi hukuman lima bulan penjara dan tiga sebatan setelah didapati memiliki pas kerja yang sudah mansuh pada 16 Mac 2017.

    Siasatan mendapati dia masuk ke negara ini pada 3 Januari 2014 menggunakan pas kerja di bawah syarikat pembinaan.

    Kali terakhir pas kerjanya dilanjutkan tempoh ialah pada 16 Februari 2017 dan hanya sah sehingga satu bulan sahaja.

    Tidak ada lanjutan tempoh dibuat selepas tarikh mansuh itu dan dia didapati tinggal selama 433 hari, daripada 17 Mac 2017 sehingga diberkas pada 24 Mei 2018.

    Kedua-dua tertuduh ditahan dalam pemeriksaan di rumah sewa di Kampung Tasek Meradun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda