Dipenjara kerana ubah gambar perdana menteri

DHAKA, 10 Jan – Seorang lelaki Bangladesh yang memutarbelitkan dan memuat naik gambar-gambar perdana menteri telah dihukum penjara tujuh tahun di bawah undang-undang ketat Internet, yang menurut pengkritik sebagai cara untuk mendiamkan mereka.

Perdana Menteri Sheikh Hasina, tercalon semula Disember lalu dalam satu pilihan raya yang dicemari oleh keganasan, penangkapan besar-besaran dan dakwaan penipuan, telah dituduh meningkatkan authoritarianisme.

Mohammad Monir, 35, didapati bersalah lewat semalam oleh tribunal siber Dhaka atas kesalahan mengubah dan memuat naik gambar-gambar Hasina dan bekas presiden, Zillur Rahman di media sosial.

“Dia memuat naik gambar-gambar itu di status Facebook miliknya dan membuat kenyataan menghina pada kapsyen gambar,” kata pendakwa raya, Nazrul Islam Shamim kepada AFP.

Dia dihukum di bawah seksyen 57 dalam Undang-undang Maklumat dan Teknologi Komunikasi (ICT) negara Asia Tenggara itu.

Shamim berkata sejak mahkamah siber berfungsi pada tahun 2013, sekurang-kurangnya tujuh orang telah dihukum penjara atas kesalahan yang sama melibatkan Hasina dan yang lainnya.

Sekurang-kurangnya 200 lebih kes seperti itu tertangguh dan dalam beberapa peringkat perbicaraan, jelasnya.

Kumpulan hak asasi telah mendokumenkan bagaimana undang-undang itu digunakan untuk menutup mulut pengkritik di negara seramai 165 juta penduduk itu.

Dalam beberapa bulan lalu, undang-undang ICT telah menggantikan Akta Keselamatan Digital, yang menurut pengkritik memberikan pihak berkuasa lebih banyak kuasa untuk mengekang kebebasan bersuara, satu dakwaan yang dinafikan oleh kerajaan. – AFP

Presiden Bangladesh, M. Abdul Hamid (kiri) menyaksikan Sheikh Hasina menandatangani dokumen selepas mengangkat sumpah di Dhaka. – AP