Dipenjara lebih 3 tahun kerana pecah amanah

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seorang anggota beruniform dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Perantaraan hari ini selepas mengaku bersalah kerana melakukan perbuatan pecah amanah.

Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail juga mengarahkan Muhd ​​Razeeq bin Abdullah Ajai untuk membayar ganti rugi sebanyak $8,576 kepada Tabung Kebajikan dan Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dan jika gagal, dia akan menjalani hukuman penjara tambahan selama dua bulan.

Tertuduh mula melakukan pecah amanah apabila mengambil wang hasil sumbangan daripada rakan sekerjanya untuk Tabung Kebajikan dan Sukan PPDB semasa ditugaskan dalam pentadbiran Unit Simpanan ‘C’ Cawangan Teraja.

Dia pertama kali mengambil wang sebanyak $768 antara 1 Mac 2016 dan 28 Februari 2017.

Kemudian antara 1 Mac 2017 dan 22 Februari 2018, dia sekali lagi mengambil wang berjumlah $7,184 dan terakhir sekali dia tidak menyerahkan wang hasil sumbangan berjumlah $624 antara 2 April dan 22 Oktober 2018 dan menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri.

Bagaimanapun pada Oktober 2018, pegawai pentadbiran Unit Simpanan menerima aduan bahawa tertuduh tidak menyerahkan wang hasil sumbangan itu kepada Bahagian Audit Dalaman dengan mengemukakan pelbagai alasan.

Perkara tersebut sekali gus mendorong kepada penyiasatan yang membawa kepada pengakuan tertuduh bahawa dia mengambil kesemua wang tersebut demi kepentingan dirinya sendiri.

Laporan polis kemudiannya dibuat sekali gus menyebabkan tertuduh digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff sebelum hukuman dijatuhkan kepada tertuduh menegaskan kepada mahkamah bahawa tertuduh tidak menunjukkan sebarang kekesalan terhadap apa yang dilakukannya, bahkan menyalahkan pihak atasannya kerana memberikannya tugas untuk mengutip hasil sumbangan, walaupun mengetahui tertuduh mengalami masalah kewangan.

Pihak pendakwa raya juga menyatakan bahawa tertuduh mempunyai masa untuk menilai semula perbuatan yang dilakukannya itu, bagaimanapun dia masih terus melakukan kesalahan itu.

Hakim telah mempertimbangkan pelbagai faktor pengurangan tetapi mengatakan bahawa mahkamah tidak dapat mengabaikan bahawa tertuduh telah menyalahgunakan dana yang dikumpulkan daripada rakan sekerja di Unit Simpanan, tidak ada pembayaran ganti rugi dibuat dan hukuman pencegahan harus dijatuhkan untuk mencerminkan kesalahan berat yang dilakukannya.