Dipenjara lesapkan lebih $60,000 wang ibu

Oleh Yusrin Junaidi & Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri dan melaburkan wang secara haram daripada akaun ibunya berjumlah kira-kira $67,000 serta membelanjakan wang itu, manakala sepupunya yang bersubahat dalam kes itu juga dijatuhkan hukuman penjara.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara dua tahun lapan bulan ke atas Nur Sabihah binti Haji Zulfikri, 25, manakala sepupunya, Hajah Siti Khadizah binti Bujang, 38, dipenjarakan lapan bulan atas pertuduhan di bawah Seksyen 379 Curi Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan Seksyen 3 (1) (b) Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012.

Kecurian dan pelaburan haram wang daripada akaun mangsa berlaku ketika Hajah Siti Khadizah cuba meminjam wang daripada sepupunya, Nur Sabihah yang mengatakan dia tidak mempunyai wang dan mencadangkan agar dia meminjam wang daripada ibunya.

Tertuduh kedua bagaimanapun tidak berani meminjam wang daripada ibu saudaranya dan ketika inilah tertuduh mencadangkan beliau mendapatkan butiran akaun ibunya, di mana tertuduh kedua kemudiannya meminta pertolongan rakannya yang bekerja di bank untuk mendapatkan butiran akaun ibu saudaranya atas alasan mangsa berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi.

Tertuduh kemudiannya mendaftarkan perbankan online bagi akaun ibunya tanpa pengetahuan lalu melakukan transaksi dan pemindahan wang sebanyak 15 kali bermula Oktober 2019 sehingga Mac 2020 berjumlah sehingga $67,800 ke akaun Hajah Siti Khadizah. Termasuk bayaran pemindahan, mangsa kehilangan sejumlah $67,960 wangnya.

Perbuatan kedua-duanya terbongkar ketika mangsa dan suaminya pergi ke sebuah bank pada 7 Mac 2020 untuk melakukan transaksi rutin menyimpan wang ke dalam akaunnya dan selepas mengemas kini akaun, kakitangan bank memaklumkan mangsa dan suami bahawa wang mangsa di-pindahkan ke sebuah akaun di bank lain sehingga membuatkan mangsa dan suaminya mengesyaki sesuatu.

Pada awalnya mangsa dan suami menyangka ia kesilapan bank, walau bagaimanapun setelah penyiasatan awal, mendapati ia membabitkan anak mereka.

Pada 9 Mac, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sengkurong yang membawa penangkapan kepada kedua-dua mangsa pada 11 Mac.

Nur Sabihah mengakui kesalahannya, mengatakan beliau sudah membelanjakan wang itu untuk membeli-belah dan membelanja rakan-rakannya. Manakala Hajah Siti Khadizah mengakui membantu mendapatkan butiran bank mangsa dan memberi wang $100 kepada rakannya di bank itu bagi membantunya dalam komplot itu.

Beliau juga membelanjakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi termasuk melancong ke Kuala Lumpur bersama anaknya.

Nur Sabihah pula membelanjakan wang itu untuk membeli tiket melancong, empat telefon bimbit jenama iPhone 11 untuk kawan-kawan, satu iPad, satu iPhone Pro Max
untuk dirinya manakala wang selebihnya digunakan untuk keperluan peribadi.
Pihak polis merampas sebahagian besar peranti tersebut, manakala wang tunai berjumlah $8,200 dan 16 juta mata wang Rupiah turut dirampas daripada tertuduh.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa raya, Affiyan Abdul Rahman.