Dipenjara lima tahun, lima sebatan kesalahan edar dadah

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Seorang lelaki warga tempatan telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun, lima sebatan serta denda $1,500 bagi lima tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Aeron Tay Wei Chung didakwa empat pertuduhan d bawah Seksyen 3 (A) APD, Penggal 27 iaitu memiliki bagi tujuan mengedar dadah jenis kanabis dan cannabis mixture, dadah kelas A yang membawa hukuman penjara lima tahun dan lima sebatan bagi setiap tuduhan. Satu lagi tuduhan di bawah Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu mengambil dadah terkawal, Kelas A, Kanabis yang membawa hukuman denda $1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayarnya,

Mahkamah telah mengarahkan hukuman bagi tuduhan dijalankan serentak menjadikan jumlah keseluruhan hukuman kepada lima tahun dan lima kali sebatan dengan hukuman dijalankan mulai 13 Februari 2020.

Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam kenyataannya mengingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah APD Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal.

Aktiviti pengedaran dadah terkawal tidak menjamin masa depan seseorang dan ianya bukan satu jalan penyelesaian dalam menghadapi masalah kewangan atau bagi menjana pendapatan dalam menyara kehidupan seharian ataupun keluarga.

Mengedar dadah terkawal boleh memberikan impak negatif kepada kesihatan, memusnahkan kehidupan keluarga dan menjejaskan kestabilan serta keselamatan negara.

Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]