Dipenjara, sebat cabul dua anak

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Seorang bapa yang melakukan enam cabul terhadap dua anak perempuannya, dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan empat sebatan baru-baru ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hukuman terhadap tertuduh dijatuhi Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong yang mendapati adanya perbuatan ‘mengkhianati kepercayaan dan menyalahgunakan kuasa’ daripada seorang bapa terhadap dua anaknya.

Ketua Hakim dalam menjatuhkan hukuman turut mengambil kira kesalahan yang serius, yang telah dilakukan selama tempoh sembilan tahun.

“Kesan psikologi pada mangsa ialah terpaksa mendedahkan perbuatan tidak sopan bapa mereka kepada polis,” kata Ketua Hakim lagi.

Tertuduh berusia 46 tahun yang juga seorang anggota beruniform didakwa mencabuli kehormatan anaknya yang ketika itu berusia 12 tahun pada 2014 dan mengulangi perbuatan ‘tidak senonoh’ itu pada 2016 dan Januari 2019 di kediaman mereka.

Mangsa semasa kejadian hanya mendiamkan diri kerana takut.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama pada seorang lagi anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun pada 2010 dan sekali lagi pada 2018, juga di kediaman mereka.

Perbuatan tertuduh itu terbongkar apabila mangsa mengadu kepada ibu mereka, yang juga bekas isteri tertuduh.

Laporan polis terus dibuat ibu mangsa.

Melalui siasatan, tertuduh mendakwa melakukan perbuatan itu untuk mengajar anak-anaknya supaya tidak terpengaruh dengan lelaki yang hanya tahu memuaskan nafsu mereka.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hafizah binti Ahmad.