Dipenjara sebulan buat laporan polis palsu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun telah dijatuhi hukuman penjara selama sebulan setelah mengaku bersalah membuat laporan polis palsu.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu mendengarkan daripada Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli bahawa Muhammad Rafi bin Haji Roslan telah pergi ke Balai Polis Berakas pada pukul 4 pagi 8 Ogos lalu untuk membuat laporan polis menyatakan bahawa dia telah dirompak oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya di Kampung Delima, Jalan Kebangsaan Lama.

Laporan tersebut menyatakan bahawa dia telah diserang oleh seorang lelaki yang turut mengambil telefon dan wang tunai. Pihak polis terus menjalankan siasatan dan menuju ke tempat kejadian yang dilaporkan namun tidak menjumpai apa-apa yang berkaitan dengan yang dinyatakan oleh tertuduh.

Tertuduh kemudiannya disoal lanjut dan ketika itulah tertuduh mengaku telah mereka cerita bagi mengelakkan abangnya marah kepadanya.

Siasatan lanjut mendapati bahawa tertuduh telah terserempak dengan seorang lelaki di ‘Asia Free Chat’ di mana dia telah mengaturkan untuk membayar $100 kepada lelaki tersebut sebagai balasan bagi khidmat seksual dengan wanita lain untuknya.

Ketika tertuduh bertemu dengan lelaki tersebut, dia kemudian memberikan telefonnya sebagai jaminan sementara dia pergi untuk mendapatkan wang.