Dipenjara setahun bersubahat curi di gerai nasi katok

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Seorang lelaki telah dijatuhi hukuman penjara setahun setelah mengaku bersalah menjadi rakan subahat dalam kes pencurian di sebuah gerai nasi katok.

Pada Februari 2020, Mohd Amri bin Mat Jali mengaku tidak bersalah sebagai tertuduh bersama dalam pertuduhan mencuri dua silinder gas, satu receiver CCTV dan 208 ketul ayam perapan dari sebuah gerai nasi katok di Tanjong Maya, Tutong.

Kes itu dijadualkan dibicarakan pada Februari ini, tetapi tertuduh melarikan diri dari mahkamah dan hilang sejak Jun 2020 dan surat perintah penangkapan dikeluarkan terhadapnya.

Kelmarin, Timbalan Pendakwa Raya Sabrina Mahmud memanggil tertuduh di mahkamah dan memaklumkan kepada majistret bahawa anggota polis Tutong telah menangkapnya.

Tertuduh berubah fikiran dan mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Fakta kes menyatakan bahawa tertuduh dan rakannya memandu di sekitar Tanjong Maya pada 9 Februari 2020 semasa mereka pergi ke gerai.

Tertuduh turun dari kereta untuk pergi ke kedai runcit berdekatan dan membeli minuman. Semasa kembali ke kereta, tertuduh dan rakannya pergi ke belakang gerai, lalu mengangkat tingkap gelongsor dan memasukinya.

Ketika berada di dalam gerai, mereka mengambil satu receiver CCTV, dua gas silinder dan 208 ketul ayam yang telah diperap sebelum beredar dan berjaya menjual dua gas silinder tersebut dengan bantuan pihak ketiga.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menegaskan bahawa walaupun tertuduh tidak mempunyai sabitan berkaitan kecurian sebelumnya, hukuman pencegahan diperlukan untuk mengelakkan tertuduh dan orang-orang yang serupa dengannya melakukan kesalahan sama.

Sementara itu, perbicaraan untuk orang ketiga, Yusnizam bin Haji Yakub, 39, yang didakwa kerana secara sukarela membantu melenyapkan dua gas silinder yang dicuri telah ditetapkan pada 6 Februari depan.